TADABBUR SURAH AL-BAYYINAH; RAHSIA DI SEBALIK BAYYINAH (HUJAH YANG JELAS NYATA)

Surah al-Bayyinah tergolong dalam surah-surah pendek. Surah-surah pendek merupakan intipati al-Quran. Ia mengungkapkan satu topik yang ingin disampaikan Allah dalam ayat-ayat yang ringkas dan padat, namun sampai maksudnya dan melengkapi topik. Kerana itu menurut ulamak, membaca satu surah pendek lebih afdhal dari membaca beberapa ayat dari surah panjang yang sama sama kadarnya. 

Topik surah ini adalah tentang bayyinah (hujjah yang jelas lagi nyata); kenapa manusia memerlukan bayyinah? Apa sebenarnya bayyinah di sisi Allah?, Apa objektif bayyinah? Apa kesudahan orang yang akur dengan bayyinah? Dan apa pula kesudahan yang menolaknya?

 Kenapa perlunya bayyinah?

Allah SWT berfirman di awal surah;

لَمۡ يَكُنِ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَٰبِ وَٱلۡمُشۡرِكِينَ مُنفَكِّينَ حَتَّىٰ تَأۡتِيَهُمُ ٱلۡبَيِّنَةُ  ١

“Tidaklah orang-orang kafir yang terdiri dari ahli Kitab dan orang-orang musyrik akan meninggalkan (kekufuran mereka) melainkan apabila datang kepada mereka bayyinah” (ayat 1).

Menurut Imam al-Baghawi dalam tafsirnya Ma’alim al-Tanzil;

- ahlul kitab bermasud orang-orang Yahudi dan Nasrani, 

- musyrikin bermaksud orang-orang yang menyembah berhala. 

- munfakkiina bermaksud muntahiina (meninggalkan), yakni meninggalkan kekufuran dan kesyirikan mereka. 

al-bayyinah bermaksud al-hujjah al-wadhihah (hujjah yang jelas nyata). Hujah yang nyata ini akan ditafsirkan sendiri oleh Allah dalam ayat berikutnya.

Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa orang-orang kafir (dalam apa bentuk kekafiran sekalipun) hanya akan meninggalkan kekufuran mereka apabila dibentangkan kepada mereka bayyinah (hujjah yang jelas) dari Allah. Dengan bayyinah mereka akan tersedar dari kesesatan dan kekufuran mereka dan kembali kepada keimanan dan kebenaran. 

Maka dari ayat ini kita dapat memahami kepentingan bayyinah. Bayyinah membuka minda manusia untuk melihat kebenaran, seterusnya terpulang kepada kejujuran masing-masing sama ada hendak akur kepada kebenaran atau terus berdegil dalam kebatilan. Kerana itu, menurut Imam al-Baghawi; ayat di atas adalah berkenaan orang-orang yang memilih untuk beriman di antara dua golongan yang dibentangkan bayyinah kepada mereka oleh Nabi Muhammad SAW. Bayyinah itu telah menyedarkan mereka untuk meninggalkan kekufuran yang lalu dan beriman kepada Nabi Muhammad SAW. Bayangkan jika tidak datang kepada mereka bayyinah. Mungkin mereka sendiri akan terus kekal dalam kesesatan. 

Namun di sana ada golongan yang memilih untuk kekal dalam kesesatan walaupun setelah dibentangkan bayyinah. Golongan ini akan disebut Allah dalam ayat ke 4 nanti, iaitu orang yang sesat di hadapan bayyinah.

Apa itu bayyinah?

Firman Allah berikutnya;

رَسُولٞ مِّنَ ٱللَّهِ يَتۡلُواْ صُحُفٗا مُّطَهَّرَةٗ  ٢ فِيهَا كُتُبٞ قَيِّمَةٞ  ٣

“(Hujjah yang nyata) itu ialah Rasul dari Allah (Nabi Muhammad SAW) yang membacakan lembaran-lembaran (mushaf)  yang disucikan. Di dalamnya terdapat ayat-ayat dan hukum-hakam bertulis yang lurus” (ayat 2 & 3).

Ayat ini menjelaskan bahawa bayyinah (hujjah yang nyata) itu ialah Rasul yang diutuskan Allah, yang membacakan kepada manusia kitab Allah. Rasul tersebut sudah tentu Nabi Muhammad SAW dan kitab yang dibacakan itu pastinya al-Quranul Karim. Dalam ayat tersebut dinyatakan dua ciri keistimewaan al-Quran;

  1. Suhuf mutahharah (lembaran-lembaran yang disucikan); menurut Imam al-Baghawi, yakni disucikan dari kebatilan, pendustaan dan kepalsuan. Maksudnya, tidak ada langsung kesalahan dan penyelewengan di dalam al-Quran.
  2. Kutubun qayyimah (hukum-hakam bertulis yang lurus); menurut Imam al-Baghawi, yakni ayat-ayat dan hukum-hakam yang terdapat di dalam al-Quran keseluruhannya adalah adil, lurus dan tidak terdapat penyelewengan sedikitpun. 

Kenapa masih manusia masih berpecah setelah datang bayyinah?

Sepatutnya apabila telah datang bayyinah (hujjah yang jelas) dari Allah dan semua manusia telah mengetahui kebenaran, mereka akan bersatu hati di atas kebenaran dari Allah. Namun hal tersebut tidak berlaku. Manusia terus berpecah. Kenapa? Allah menjelaskan dalam ayat berikutnya;

وَمَا تَفَرَّقَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَٰبَ إِلَّا مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡهُمُ ٱلۡبَيِّنَةُ  ٤

“Dan tidaklah berpecah-belah orang-orang yang diberikan kitab kepada mereka (yakni Ahul Kitab) melainkan sesudah datang kepada mereka bayyinah” (ayat 4).

Allah menyebutkan dalam ayat ini perpecahan yang berlaku di kalangan Ahlul Kitab (yakni Yahudi dan Nasrani) termasuk setelah kedatangan Nabi Muhammad SAW. Sepatutnya mereka tidak berpecah, kerana mereka sudah didatangi oleh bayyinah terdahulu (Nabi-Nabi dan kitab-kitab terdahulu) dan diikuti pula dengan bayyinah yang terbaru (iaitu Nabi Muhammad SAW dan al-Quran). Namun mereka terus berpecah apabila sebahagian besar mereka menolak untuk beriman dengan Nabi Muhammad SAW (Tafsir al-Baghawi).

Dalam hadis, Nabi SAW memberitahu kita bahawa golongan Yahudi terpecah kepada 71 puak, Nasrani pula kepada 72 puak. Umat ini juga akan turut berpecah, iaitu kepada 73 puak. Perpecahan berlaku setelah datang bayyinah kepada mereka. Punca perpecahan ialah apabila hanya sebahagian sahaja akur untuk menerima bayyinah, sedang sebahagian lagi berdegil untuk menolaknya. Punca kedegilan ialah kedengkian sesama sendiri, iaitu sebagaimana dinyatakan Allah dalam ayat yang lain;

كَانَ ٱلنَّاسُ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ فَبَعَثَ ٱللَّهُ ٱلنَّبِيِّ‍ۧنَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ فِيمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِۚ وَمَا ٱخۡتَلَفَ فِيهِ إِلَّا ٱلَّذِينَ أُوتُوهُ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُ بَغۡيَۢا بَيۡنَهُمۡۖ فَهَدَى ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ ٱلۡحَقِّ بِإِذۡنِهِۦۗ وَٱللَّهُ يَهۡدِي مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٍ  ٢١٣

“Manusia itu asalnya adalah umat yang satu. (Apabila timbul perselisihan), maka Allah mengutuskan para nabi, sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar, untuk memberi keputusan di antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan oleh orang-orang yang telahpun diberikan Kitab kepada mereka, iaitu setelah datang kepada mereka bayyinah-bayyinah, karena dengki antara mereka sendiri. Maka Allah menunjuki orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendakNya. Allah sentiasa menunjuki orang yang dikehendakiNya kepada jalan yang lurus” (surah al-Baqarah, ayat 3).

Ke mana manusia hendak di bawa oleh bayyinah? (objektif bayyinah)

Bayyainah (Rasul dan al-Quran) ingin membawa manusia kepada agama yang lurus. Firman Allah dalam ayat seterusnya;

وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ حُنَفَآءَ وَيُقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُواْ ٱلزَّكَوٰةَۚ وَذَٰلِكَ دِينُ ٱلۡقَيِّمَةِ  ٥

“Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mentuluskan (ketaatan) agama kepadaNya serta cenderung kepada tauhid, dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat. Itulah agama yang lurus” (ayat 5).

Difahami dari ayat ini bahawa para Nabi yang diutuskan Allah menyampaikan kitab Allah, mereka tidak mengajak manusia melainkan kepada agama yang lurus. Terdapat 5 ciri agama yang lurus yang dapat kita pelajari dari ayat tersebut;

  1. Beribadah kepada Allah
  2. Mengikhlaskan (ketaatan) agama kepada Allah 
  3. Cenderung kepada tauhid, yakni berpaling sepenuhnya dari syirik (Ibnu Kathir).
  4. Mendirikan solat, kerana ia adala ibadah jasmani yang paling mulia (Ibnu Kathir)
  5. Menunaikan zakat, iaitu bersimpati kepada fakir miskin dan orang-orang yang memerlukan (Ibnu Kathir)

Jika semua umat memfokuskan kepada agama yang lurus ini, nescaya tidak akan ada perpecahan yang berlaku sesama mereka. 

Apa kesudahan orang yang enggan menerima bayyinah?

Orang yang degil dan sombong, enggan menerima bayyinah yang datang dari Allah, mereka akan kekal dalam kekufuran, maka kesudahan mereka ialah di dalam neraka dan akan jatuh menjadi sehina-hina makhluk di sisi Allah. Firman Allah dalam ayat berikutnya;

إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَٰبِ وَٱلۡمُشۡرِكِينَ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَٰلِدِينَ فِيهَآۚ أُوْلَٰٓئِكَ هُمۡ شَرُّ ٱلۡبَرِيَّةِ  ٦

“Sesungguhnya orang-orang kafir dari ahli Kitab dan juga orang-orang yang musyrik (akan masuk) ke dalam neraka Jahannam; mereka kekal di dalamnya. Mereka itu adalah seburuk-buruk makhluk” (ayat 6).

Imam Ibnu Kathir menjelaskan, dalam ayat ini Allah memberitahu kita kesudahan orang-orang jahat yang menolak kitab-kitab yang diturunkan Allah dan para Rasul yang diutusnya sama ada mereka dari kalangan kafir Ahli Kitab atau para penyembah berhala (musyrikin) bahawa mereka pada hari kiamat akan berada dalam negara jahannam, kekal di dalamnya, tidak akan berpindah darinya selama-lamanya. Mereka itulah seburuk-buruk makhluk yang diciptakan Allah.

Apa kesudahan orang yang menyahut bayyinah?

Orang yang akur dengan bayyinah yang disampaikan Allah mereka akan beriman kepada Rasul yang diutuskan Allah dan menjadi hamba Allah yang taat, maka martabat mereka ditinggi Allah menjadi sebaik-baik makhlukNya dan kesudahan mereka ialah berada dalam syurga di akhirat nanti;

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ أُوْلَٰٓئِكَ هُمۡ خَيۡرُ ٱلۡبَرِيَّةِ  ٧ جَزَآؤُهُمۡ عِندَ رَبِّهِمۡ جَنَّٰتُ عَدۡنٖ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدٗاۖ رَّضِيَ ٱللَّهُ عَنۡهُمۡ وَرَضُواْ عَنۡهُۚ ذَٰلِكَ لِمَنۡ خَشِيَ رَبَّهُۥ  ٨

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhan mereka ialah surga 'Adn yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah redha terhadap mereka dan merekapun redha kepada-Nya. Itulah adalah (balasan) bagi orang yang takut kepada Tuhannya” (ayat 7 & 8).

Perhatikan, empat kurniaan Allah bagi orang yang beriman dengan bayyinah (Rasul dan al-Kitab);

  1. Mendapat martabat yang tinggi di sisi Allah; iaitu menjadi sebaik-baik makhluk
  2. Diberi syurga ‘adn, ‘adn iaitu kediaman yang kekal abadi. Menurut Ibnu ‘Amru RA dan al-Hasan al-Basri, istana dalam syurga (Tafsir al-Baghawi, surah al-Taubah, ayat 72).
  3. Kekal di dalam syurga
  4. Mendapat keredhaan Allah

Namun banyyinah itu bukan hanya berada minda (akal) kita sahaja, akan tetapi meresap ke dalam hati hingga menjadikan kita orang yang benar-benar beriman dan takut kepada Allah. Kerana itu Allah menyebutkan di hujung ayat;

ذَٰلِكَ لِمَنۡ خَشِيَ رَبَّهُۥ  ٨

“Itulah adalah (balasan) bagi orang yang takut kepada Tuhannya” (ayat 7 & 8).

Kesimpulannya, bayyinah (hujjah-hujjah agama, sama ada ayat-ayat al-Quran mahupun hadis-hadis Nabi SAW), bukan hanya untuk diperkatakan atau perdebatkan, tetapi paling utama ialah untuk difahami maksudnya, dihayati kehendaknya, diamalkan kandungannya, seterusnya disampai dan didakwahkan kepada orang lain.

Rujukan;

  1. Tafsir Ma’alim al-Tanzil wa Mahasin al-Takwil, Imam al-Baghawi.
  2. Tafsir al-Quran al-Adzim, Imam Ibnu Kathir
  3. Tafsir al-Quran al-Karim, Mahmud Yunus.