Semua orang beriman berhasrat mengikuti Nabi Muhammad SAW, termasuk kita. Namun hasrat semata-mata belum mencukupi. Kita perlu menterjemahkan hasrat kepada amalan, sikap dan penampilan kita. Dalam ayat yang selalu kita dengar berkenaan uswatun hasanah pada peribadi baginda SAW, Allah SAW menyebutkan tiga ciri orang yang akan menerapkan keperibadian Nabi SAW dalam diri mereka;

لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأٓخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرٗا  ٢١

“Sesungguhnya pada diri Rasulullah SAW menjadi suri teladan yang baik bagimu, iaitu bagi orang yang mengharapkan Allah dan hari akhirat dan dia banyak menyebut Allah” (surah al-Ahzab, 21).

Jelas dari ayat bahawa terdapat tiga ciri yang perlu ada pada diri kita jika kita benar-benar ingin mencontohi Nabi Muhammad SAW;

1. Mengharapkan Allah, yakni matlamat hidup kita adalah menginginkan keredhaan Allah dan ganjaran pahalaNya (Ibnu 'Abbas RA). 

2. Mengharapkan akhirat, yakni kita menginginkan kebahagiaan di akhirat, kerana dunia ini hanyalah sementara sahaja bagi kita.

3. Banyak mengingati Allah, yakni dalam kehidupan kita sentiasa berusaha mengingati Allah dengan sebanyak-banyaknya, dengan mengerjakan solat, membaca al-Quran, berzikir, berdoa, menuntut ilmu al-Quran dan Sunnah Nabi SAW dan sebagainya.

Menarik untuk diperhatikan ialah kedudukan ayat ini di dalam surah al-Ahzab, surah yang menceritakan tentang peperangan Ahzab atau dikenali juga dengan peperangan Khandaq/Parit, di mana ketika peperangan tersebut kaum muslimin di Madinah di kepung oleh pasukan tentera bersekutu gabungan pelbagai kabilah Arab diketuai musyrikin Mekah.

Dalam situasi gawat dan amat membimbangkan itu, terdapat sebahagian kaum muslimin yang mula goyah terutamanya golongan munafik yang tipis iman mereka kepada Allah. Lalu Allah menurunkan ayat di atas yang meminta kaum muslimin agar mencontohi Nabi Muhammad SAW kerana pada peribadi baginda terdapat suri tauladan yang baik. Di antara sikap baginda yang perlu dicontohi ialah keteguhan baginda dalam menyampaikan dakwah, mempertahankan agama Allah tanpa gentar dan sanggup menghadapi kesusahan kerana Allah. 

Kemudian setelah ayat tersebut diikuti ayat-ayat yang menceritakan keteguhan orang-orang beriman (yakni para sahabat) ketika menghadapi tentera Ahzab itu, seolah-olah Allah ingin memberitahu kita bahawa contoh generasi yang benar-benar menerapkan keperibadian Nabi Muhammad SAW dalam jiwa mereka (yang memiliki keteguhan jiwa sebagaimana baginda) ialah generasi awal Islam (para sahabat Nabi Muhammad SAW);

  1. Dan tatkala orang-orang mukmin melihat golongan-golongan yang bersekutu itu (Ahzab), mereka berkata: "Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kita". Dan benarlah Allah dan Rasul-Nya. Dan yang demikian itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali iman dan ketundukan.
  2. Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka tidak merubah (janjinya),
  3. supaya Allah memberikan balasan kepada orang-orang yang benar itu karena kebenarannya, dan menyiksa orang munafik jika dikehendaki-Nya, atau menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
  4. Dan Allah menghalau orang-orang yang kafir itu yang keadaan mereka penuh kejengkelan, (lagi) mereka tidak memperoleh keuntungan apapun. Dan Allah menghindarkan orang-orang mukmin dari peperangan. Dan adalah Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.

 (Surah al-Ahzab, ayat 22-25).

Pastinya para sahabat turut memiliki tiga ciri yang disebutkan Allah ayat tadi; hanya mengharapkan keredhaan Allah, mencita-citakan akhirat dan sentiasa mengingati Allah. Itulah ciri-ciri sejati umat Muhammad SAW. Kita adalah sebahagian umat baginda, maka marilah kita menerapkan ciri-ciri tersebut dalam diri kita.

Rujukan;

(1) Tafsir al-Wasit, Wahbah al-Zuhaili, 3/2063.