Apa makna istiqamah?

Menurut Imam al-Raghib al-Asfahani (wafat 502 hijrah); istiqamah bermaksud laluan di atas garisan yang lurus, kemudian  dijadikan perumpamaan bagi maksud jalan yang benar (al-Mufradaat). Maka ungkapan al-siratal mustaqim di dalam al-Quran bermaksud jalan yang benar. Menurut Imam al-Nasafi (wafat ), al-siratal mustaqim ialah jalan yang menyampaikan manusia kepada nikmat yang kekal abadi (yakni syurga) (Tafsir al-Nasafi).

Merujuk kepada manusia pula, apabila disebutkan “استقامة الإنسان” (insan yang beristiqamah), maka maksudnya ialah seorang manusia yang sentiasa berada di atas manhaj mustaqim (jalan yang benar) (al-Mufradaat).

Apa rahsia untuk kekal istiqamah (kekal berada di atas jalan yang benar)?

Jawapannya ada dalam firman Allah berikut;

إِنۡ هُوَ إِلَّا ذِكۡرٞ لِّلۡعَٰلَمِينَ  ٢٧ لِمَن شَآءَ مِنكُمۡ أَن يَسۡتَقِيمَ  ٢٨ وَمَا تَشَآءُونَ إِلَّآ أَن يَشَآءَ ٱللَّهُ رَبُّ ٱلۡعَٰلَمِينَ  ٢٩

“Al Quran itu tiada lain adalah peringatan bagi semesta alam. (Iaitu) bagi siapa di antara kamu yang ingin beristiqamah (berada di jalan yang lurus). Dan kamu tidak dapat mengingini (istiqamah itu) kecuali apabila diingini Allah, Tuhan semesta alam” (surah al-Takwir, ayat 27-29).

Dari ayat-ayat ini kita dapat memahami tiga ilmu berguna untuk kekal istiqamah;

  1. Melazimi al-Quran, kerana Allah menegaskan dalam ayat itu bahawa al-Quran itu adalah peringatan bagi orang yang ingin istiqamah.
  2. Mempunyai keinginan (keazaman) sendiri untuk beristiqamah, kerana Allah menyebut “bagi sesiapa antara kamu yang ingin beristiqamah”. Allah membukakan jalan kepada manusia untuk istiqamah, namun jika manusia sendiri tidak ingin beristiqamah, mereka tidak akan menemui jalan istiqamah tersebut.
  3. Sentiasa memohon kepada Allah, kerana keinginan manusia hanya akan terlaksana jika Allah turut mengingininya. Mungkin kerana itulah Allah mengajar kita agar tidak putus berdoa memohon al-siratal mustaqim setiap kali kita mengerjakan solat, kerana tanpa perkenannya mustahil kita akan berada di atas jalan yang lurus/benar. al-Hamdulillah.

وَٱللَّهُ يَهۡدِي مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٍ  ٢١٣

“Allah selalu memberi petunjuk orang yang dikehendakiNya kepada jalan yang lurus/benar” (al-Baqarah, ayat 213).

Rujukan;

  1. al-Mufradaat Fi Gharib al-Quran, Imam al-Raghib al-Asbahani, kalimah “قوم”. 
  2. Tafsir al-Nasafi, Imam Abu al-Barakaat al-Nasafi, 1/258 (Ali Imran, ayat 51), 3/608 (surah al-Takwir).