Perkataan syura (شورى) dalam bahasa Arab bermaksud rundingan, bicara fikiran (berkongsi idea), timbangan permuafakatan (Kamus al-Marbawi). Dalam Kamus Dewan, syura diberi erti mesyuarat. Dalam kehidupan kita, kita mungkin merasakan amalan syura tidak begitu penting dari sudut agama -sebagaimana pentingnya ibadah solat, puasa, zakat haji dan sebagainya-. Ia seolah pilihan bagi kita, yakni buat pun tak apa, tak buat pun tak apa. Namun jika kita menyelami kandungan al-Quran dengan saksama (yakni mentadabburnya), kita akan menyedari bahawa agama kita amat mementingkan syura atau musyawarah.

1. Syura diarahkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW;

 Dalam surah Ali Imran (ayat 159), Allah berkata kepada Nabi Muhammad SAW;

وَشَاوِرۡهُمۡ فِي ٱلۡأَمۡرِۖ

"dan bermusyawarahlah (wahai Muhammad SAW) dengan mereka dalam urusan itu".

Jika Nabi SAW dituntut bermesyuarah -sedang baginda bermartabat seorang Nabi SAW dan memiliki pelbagai keistimewaan-, lebih-lebih lagilah dituntut ke atas orang lain yang semuanya lebih rendah dari baginda (Al-Raisuni, hlm. 15).

2. Syura dan keredhaan Allah

Dalam surah al-Syura (ayat 36 hingga 38) Allah membentangkan sifat-sifat orang yang bakal dikurniakan pahala yang besar di akhirat, antaranya;

وَٱلَّذِينَ ٱسۡتَجَابُواْ لِرَبِّهِمۡ وَأَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَأَمۡرُهُمۡ شُورَىٰ بَيۡنَهُمۡ وَمِمَّا رَزَقۡنَٰهُمۡ يُنفِقُونَ 

"Dan (ia turut dikurniakan kepada) orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan shalat, sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah antara mereka; dan mereka menafkahkan sebagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka" (ayat 38).

Mengulas ayat ini, al-Jasas berkata; ungkapan 'sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah antara mereka' menunjukkan kedudukan syura yang tinggi dikeranakan ia disebut bersama iman dan solat. Ia menunjukkan bahawa umat Islam disuruh mempraktikkan syura (al-Raisuni, hlm. 14).

3. Kisah syura ditonjol Allah SWT di awal penciptaan manusia lagi

Dalam kisah di awal penciptaan Adam AS (bapa manusia), ditonjolkan dialog antara Allah dengan Malaikat. Allah membentangkan ketetapanNYa kepada Malaikat, lalu Malaikat membalas dengan melontarkan pertanyaan;

قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ

Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?"

Allah membalas kembali dengan menyatakan; "Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui", kemudian Allah menunjukkan kelayakan Adam AS untuk menjadi khalifah dengan membuktikan keupayannya menguasai ilmu lebih tinggi dari keupayaan malaikat (lihat; surah al-Baqarah, ayat 30-33).

Menurut mufassir Syeikh Ibnu Asyur; dalam ayat ini mempunyai unsur pensyariatan syura (perbincangan/mesyuarat), sengaja ditonjolkan Allah dalam kisah awal penciptaan manusia agar amalan syura menjadi satu tabiat sejati dalam diri zuriat manusia. Ini kerana perbandingan pada peringkat awal penciptaan manusia memberi pengajaran yang lebih mendalam dan sebati menggabungkan antara makhluk dan penciptanya (al-Raisuni, hlm. 4).

Antara yang menarik diperhatikan dari kisah tersebut ialah, syura bukan semata-mata berfungsi untuk membuat keputusan (kerana penciptaan Adam AS telahpun diputuskan Allah), tetapi juga berfungsi sebagai pemakluman, penghormatan (kepada pihak lain), ingat-memperingkan dan bagi menjaga adab tatasusila (al-Raisuni, hlm. 5). Tujuan syura ini turut dapat difahami dari musyawarah Nabi Ibrahim dengan anaknya Ismail yang akan disentuh selepas ini.

4. Syura Nabi Ibrahim AS dengan anaknya Ismail AS

Dalam kisah al-Quran yang masyhur, Nabi Ibrahim AS bermimpi menyembelih anaknya Ismail AS. Mimpi seorang Nabi SAW adalah wahyu yang mesti dilaksanakan dan itu dimaklumi oleh Nabi Ibrahim AS. Namun al-Quran menceritakan, Nabi Ibrahim AS bertanyakan pandangan anaknya Ismail tentang mimpi itu dan Ismail memberi pandanganya;

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ ٱلسَّعۡيَ قَالَ يَٰبُنَيَّ إِنِّيٓ أَرَىٰ فِي ٱلۡمَنَامِ أَنِّيٓ أَذۡبَحُكَ فَٱنظُرۡ مَاذَا تَرَىٰۚ قَالَ يَٰٓأَبَتِ ٱفۡعَلۡ مَا تُؤۡمَرُۖ سَتَجِدُنِيٓ إِن شَآءَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلصَّٰبِرِينَ 

"Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: "Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahwa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!" Ia menjawab: "Hai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar" (surah al-Soffat, ayat 102).

 Kenapa perlu dimesyuaratkan lagi, sedangkan ketetapan datang (dari Allah)? Imam al-Thartusyi menjelaskan; "Keputusan yang telah ada tidak menghalang kamu untuk melakukan syura, tidakkah kamu melihat tindakan Nabi Ibrahim apabila diarahkan menyembellih anaknya. Kesopanan dan kesusilaan mendorong beliau mengajukan pertanyaan kepada anaknya (al-Raisuni, hlm. 5).

Qadhi Badruddin turut menjelaskan; musyawarah adalah tradisi para Nabi sehinggakan Nabi Ibrahim tidak meninggalkannya walaupun telah diperintahkan menyembelih anaknya (al-Raisuni, hlm. 5).

5. Syura dalam keluarga

Dalam al-Quran terdapat isyarat kepada musyawarah dalam masalah kekeluargaan, antara yang dapat diperhatikan;

a) Musyawarah antara suami dan isteri yang bercerai sama ada hendak meneruskan penceraian atau berbaik semula. Allah melarang wali menghalang keputusan musyawarah mereka;

وَإِذَا طَلَّقۡتُمُ ٱلنِّسَآءَ فَبَلَغۡنَ أَجَلَهُنَّ فَلَا تَعۡضُلُوهُنَّ أَن يَنكِحۡنَ أَزۡوَٰجَهُنَّ إِذَا تَرَٰضَوۡاْ بَيۡنَهُم بِٱلۡمَعۡرُوفِۗ ذَٰلِكَ يُوعَظُ بِهِۦ مَن كَانَ مِنكُمۡ يُؤۡمِنُ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۗ ذَٰلِكُمۡ أَزۡكَىٰ لَكُمۡ وَأَطۡهَرُۚ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ 

"Apabila kamu mentalak isteri-isterimu, lalu habis masa iddahnya, maka janganlah kamu (para wali) menghalangi mereka kawin lagi dengan bakal suaminya, apabila telah terdapat kerelaan di antara mereka dengan cara yang ma'ruf. Itulah yang dinasehatkan kepada orang-orang yang beriman di antara kamu kepada Allah dan hari kemudian. Itu lebih baik bagimu dan lebih suci. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui" (surah al-Baqarah, ayat 232).

Ungkapan "apabila telah terdapat kerelaan antara mereka" menunjukkan secara tersirat bahawa keputusan itu terhasil dengan musyawarah antara mereka berdua, bukan keputusan sepihak.

b) Al-Quran turut mengisyaratkan bahawa keputusan yang membabitkan kemaslahatan anak mesti dimusyawarahkan antara suami dan isteri atau ibu dan bapa;

َإِنۡ أَرَادَا فِصَالًا عَن تَرَاضٖ مِّنۡهُمَا وَتَشَاوُرٖ فَلَا جُنَاحَ عَلَيۡهِمَاۗ وَإِنۡ أَرَدتُّمۡ أَن تَسۡتَرۡضِعُوٓاْ أَوۡلَٰدَكُمۡ فَلَا جُنَاحَ عَلَيۡكُمۡ إِذَا سَلَّمۡتُم مَّآ ءَاتَيۡتُم بِٱلۡمَعۡرُوفِۗ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٞ 

“Apabila keduanya (yakni suami dan isteri) ingin memutuskan penyusuan (sebelum dua tahun) dengan persetujuan kedua mereka dan permusyawaratan, maka tidak ada dosa atas keduanya. Dan jika kamu ingin anakmu disusukan oleh orang lain, maka tidak ada dosa bagimu apabila kamu memberikan pembayaran menurut yang patut. Bertakwalah kamu kepada Allah dan ketahuilah bahwa Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan (surah al-Baqarah, ayat 233).

Al-Quran seolah mengisyaratkan bahawa suami/bapa tidak seharusnya membuat keputusan sendiri, sebaliknya perlu juga merujuk pandangan isteri/ibu, atau dalam erti lain, musyawarah perlu dipraktikkan dalam kehidupan kekeluargaan. Turut disebutkan dalam surah al-Tolaq;

 وَأۡتَمِرُواْ بَيۡنَكُم بِمَعۡرُوفٖۖ وَإِن تَعَاسَرۡتُمۡ فَسَتُرۡضِعُ لَهُۥٓ أُخۡرَىٰ 

“dan musyawarahkanlah di antara kamu (segala sesuatu) dengan baik; dan jika kamu menemui kesulitan maka perempuan lain boleh menyusukan (anak itu) untuknya” (surah al-Tolaq, ayat 6).

6. Syura dan ulul-albab

 

Dalam surah al-Zumar ayat 18, Allah SWT menyebutkan sifat ulul-albab (golongan yang memiliki hati dan akal yang jernih) sebagai;

ٱلَّذِينَ يَسۡتَمِعُونَ ٱلۡقَوۡلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحۡسَنَهُۥٓۚ أُوْلَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ هَدَىٰهُمُ ٱللَّهُۖ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمۡ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَٰبِ 

“yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya. Mereka itulah orang-orang yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal” (surah al-Zumar, ayat 18).

Ayat ini menunjukkan bahawa ulul-albab ialah para pendengar yang setia dan bersedia menilainya bagi mencari pandangan dan pendapat terbaik. Sifat ini tidak wujud melaikan pada orang yang suka bermusyawarah.

Kisah syura atau musyawarah akan kita temui lebih banyak jika kita membaca di dalam hadis-hadis Nabi SAW, bagaimana baginda banyak bermesyuarat dengan sahabat-sahabat baginda, kemudian tradisi tersebut diteruskan oleh para sahabat selepas baginda. Abu Hurairah RA menceritakan; 

«مَا رَأَيْت أَحَدًا قَطُّ كَانَ ‌أَكْثَرَ ‌مَشُورَةً لِأَصْحَابِهِ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ -»

"Aku tidak pernah menemui seorang yang paling banyak bermesyuarat dengan sahabat-sahabatnya melebihi Rasulullah SAW" (HR Ahmad dan al-Syafiie. Nailul-Autar, 7/266, no. 3271).

.

Bacaan;

1. Syura dan Demokrasi; dari perspektif maqasid al-Syariah, Dr. Ahmad al-Raisuni, Institud Darul Ehsan; Selangor (2017).