Laman Info Agama Anda

HAK IBU-BAPA

Manusia yang paling besar haknya ke atas kita ialah ibu-bapa kita. Perintah berbuat baik kepada ibu-bapa digandingkan Allah dengan perintah menyembahNya sebagaimana yang kita temui dalam firmanNya;

 وَقَضَى رَبُّكَ أَلاَّ تَعْبُدُواْ إِلاَّ إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَاناً

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa” (Surah al-Isra’, ayat 23).

 Ini menggambarkan betapa besarnya hak ibu-bapa di sisi Allah. Dari tinjauan kita terhadap ayat-ayat dan hadis-hadis yang menyentuh tentang ibu-bapa, kita mendapat hak-hak yang wajib kita tunaikan terhadap dua ibu-bapa kita adalah seperti berikut;

 (1) Bergaul dan melayani mereka dengan baik

 Firman Allah;

 وَإِن جَاهَدَاكَ عَلى أَن تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفاً وَاتَّبِعْ سَبِيلَ مَنْ أَنَابَ إِلَيَّ

“Dan jika mereka berdua (yakni ibu-bapamu) mendesakmu supaya engkau mensyirikkan denganKu sesuatu yang tidak ada ilmu bagimu, maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh)” (Surah Luqman, ayat 15).

 Di dalam ayat di atas Allah memerintahkan kita agar melayani dua ibu-bapa kita dengan baik sekalipun mereka bukan Islam selagi mereka tidak mengajak kita kepada perderhakaan kepada Allah.

 Berbanding bapa, hak ibu dalam pergaulan lebih besar dari hak bapa sebagaimana dalam hadis dari Abu Hurairah r.a. yang menceritakan; Seorang lelaki datang kepada Rasulullah –shallallahu ‘alaihi wasallam-, lalu bertanya; ‘Ya Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak aku layani dengan baik?’. Jawab baginda; “Ibumu”. Ia bertanya lagi; ‘Kemudian siapa?’. Jawab baginda; “Ibumu’. Ia bertanya lagi; ‘Setelah itu siapa?’. Jawab baginda; “Ibumu”. Ia bertanya lagi; ‘Setelah itu siapa lagi?’. Baginda menjawab; “Bapamu” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).

(2) Berbakti kepada dua ibu-bapa

 Berbakti kepada ibu-bapa banyak disebut oleh hadis-hadis Nabi. Kita akan kemukakan nanti hadis-hadis tentang fadhilat berbakti kepada dua ibu-bapa. Di antara bentuk kebaktian kepada ibu-bapa ialah yang disebut oleh Allah dalam firmanNya;

 وَقَضَى رَبُّكَ أَلاَّ تَعْبُدُواْ إِلاَّ إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَاناً إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلاَهُمَا فَلاَ تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلاَ تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلاً كَرِيماً، وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيراً.

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘Ha’ dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil” (Surah al-Isra’, ayat 24).

 Dari ayat di atas kita dapat memahami antara bentuk kebaktian kepada ibu-bapa ialah kita menjaga dan memelihara mereka mereka telah tua. Namun kebaktian kepada ibu-bapa tidak khusus pada ketika mereka telah tua sahaja. Di antara bentuk kebaktian ialah membantu ibu-bapa pada ketika mereka susah dan mengharapkan bantuan orang lain. Malah menurut ulamak; seorang anak wajib menanggung nafkah kedua ibu-bapanya jika mereka tidak mampu mencari nafkah sendiri dan si anak mempunyai kemampuan. Menurut Imam Ibnu al-Munzir; hukum ini telah disepakati sekelian ulamak.[1]

 Abdullah bin Mas’ud r.a. menceritakan; Aku telah bertanya Rasulullah; ‘Apakah amalan yang paling disukai Allah?’. Baginda menjawab;

 الصَّلَاةُ عَلَى وَقْتِهَا

“Solat pada waktunya”.

Aku bertanya lagi; ‘Setelah itu apa?’. Baginda menjawab;

 بِرُّ الْوَالِدَيْنِ

“Berbuat baik kepada dua ibu-bapa”.

Aku bertanya lagi; ‘Setelah itu apa?’. Baginda menjawab;

 الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

“Berjihad di jalan Allah”

(Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).

 (3) Menjaga percakapan di hadapan mereka

 Allah berfirman dalam ayat tadi;

 فَلاَ تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلاَ تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلاً كَرِيماً

“…maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘Ha’ dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)…” (Surah al-Isra’, ayat 24).

 (4) Merendah diri di hadapan mereka dengan penuh kasih sayang

 Allah berfirman dalam ayat tadi;

 وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ

“…Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu…” (Surah al-Isra’, ayat 24).

 (5) Mendoakan rahmat Allah untuk mereka

 Allah berfirman dalam ayat tadi;

 وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيراً.

“…dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil” (Surah al-Isra’, ayat 24).

 (6) Berterima kasih kepada mereka

 Firman Allah;

 وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْناً عَلَى وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)” (Surah Luqman, ayat 14).

 Sebenarnya sebanyak mana sekalipun ucapan terima kasih kita kepada ibu-bapa kita masih tidak mampu membalas jasa-jasa mereka kepada kita. Sabda Nabi;

 لَا يَجْزِي وَلَدٌ وَالِدًا إِلَّا أَنْ يَجِدَهُ مَمْلُوكًا فَيَشْتَرِيَهُ فَيُعْتِقَهُ

“Seorang anak tidak akan berupaya membalas jasa-jasa ibu-bapanya melainkan apabila ia menemui ibu-bapanya seorang hamba yang dimiliki, lalu ia membelinya dan membebaskannya” (Hadis riwayat Imam Muslim, at-Tirmizi dan an-Nasai dari Abu Hurairah r.a.).

 (7) Mentaati mereka dalam perkara makruf

 Hendaklah kita mentaati dua ibu-bapa selama arahan atau permintaan mereka tidak menyalahi Syarak dan kita mampu menurutinya. Ketaatan kepada dua ibu-bapa amat penting kerana Nabi bersabda;

رِضَى الرَّبِّ فِي رِضَى الْوَالِدِ وَسَخَطُ الرَّبِّ فِي سَخَطِ الْوَالِدِ

“Keredhaan Tuhan berada pada keredhaan Ibu-bapa dan kemurkaan Tuhan berada pada kemurkaan ibu-bapa” (Hadis riwayat Imam at-Tirmizi dan al-Hakim dari ‘Abdullah bin ‘Amru r.a.. Menurut as-Suyuti; hadis ini adalah soheh. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 4456).

 (8) Memohon keizinan mereka untuk keluar berjihad

 Abi Sa’id al-Khudri r.a. menceritakan; Seorang lelaki dari penduduk Yaman telah berhijrah kepada Rasulullah. Lalu baginda bertanya beliau; “Adakah kamu ada meninggalkan seseorang di Yaman?”. Ia menjawab; “Ya, dua ibu-bapaku”. Nabi bertanya beliau; “Adakah kedua mereka memberi izin kepadamu”. Ia menjawab; ‘Tidak’. Lantas Nabi berkata kepadanya;

 “Pulanglah kepada mereka berdua dan mintalah keizinan mereka. Jika mereka mengizinkanmu, maka berjihadlah (bersamaku). Jika tidak, berbaktilah kepada mereka” (Hadis riwayat Imam Abu Daud).

 Menurut ulamak; hukum wajib meminta keizinan ibu-bapa untuk keluar berjihad hukum ini hanya khusus bagi situasi di mana jihad menjadi fardhu kifayah dan orang yang menyertainya itu hanya sebagai tentera sukarelawan sahaja. Adapun jika jihad telah menjadi fardhu ‘ain ke atas seseorang, ketika itu wajib ia keluar berjihad tanpa perlu mendapat restu dua ibu bapa terlebih dulu. Ada tiga keadaan jihad menjadi fardhu ‘ain ke atas seseorang, iaitu;[2]

  1. Apabila musuh telah melanda negaranya.
  2. Apabila pemerintah Islam telah memilihnya untuk keluar berperang.
  3. Ketika pasukan tentera sedia ada yang bertugas mempertahankan Negara Islam tidak mencukupi dan ia mampu untuk membantu mencukupkan kekurangan tersebut.

 Fadhilat berbuat-baik dan berbakti kepada dua ibu-bapa

 Terdapat banyak hadis Nabi yang menyebutkan kelebihan orang yang berbakti kepada dua ibu-bapa, antaranya;

 (1) Mu’awiyah bin Jahimah menceritakan dari bapanya yang menceritakan; Aku telah berjumpa dengan Nabi untuk meminta pandangannya tentang hasratku untuk keluar berjihad. Lalu baginda bertanyaku; “Apakah kamu masih memiliki dua ibu-bapa?”. Jawabku; ‘Ya’. Baginda lalu berkata;

 الْزَمْهُمَا فَإِنَّ الْجَنَّةَ تَحْتَ أَرْجُلِهِمَا

“Jagalah mereka berdua kerana Syurga di bawah kaki kedua mereka” (Hadis riwayat Imam at-Thabrani dengan sanad yang baik. Lihat; al-Muntaqa, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, hadis no. 1475).

 (2) Sabda Nabi;

 مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُمَدَّ لَهُ فِي عُمْرِهِ وَأَنْ يُزَادَ لَهُ فِي رِزْقِهِ فَلْيَبَرَّ وَالِدَيْهِ وَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

“Sesiapa yang ingin dipanjangkan umurnya dan ditambah rezkinya, maka berbaktilah kepada dua ibu-bapanya dan hubungkanlah ikatan persaudaraannya” (Hadis riwayat Imam Ahmad dari Anas bin Malik r.a.).

 (3) Sabda Nabi;

 بَرُّوا آباءَكُمْ تَبَرُّكُمْ أَبْنَاؤُكُمْ، وَعِفُّوا تَعِفُّ نِسَاؤُكُمْ

“Berbaktilah kepada ibu-bapa kamu, nescaya anak-anak kamu akan berbakti kepada kamu. Peliharalah kehormatan dirimu, nercaya isteri-isteri kamu akan memelihara kehormatan mereka” (Hadis riwayat Imam at-Thabrani dengan sanad yang baik dari Ibnu ‘Umar r.a.. Lihat; al-Muntaqa, hadis no. 1480).

 (4) Ibnu ‘Umar menceritakan; Seorang lelaki datang kepada Nabi dan mengadu; ‘Aku telah melakukan satu dosa yang besar, apakah ada taubat bagiku?’. Lalu Nabi bertanya beliau; “Apakah kamu masih mempunyai ibu?”. Jawabnya; ‘Tidak ada lagi’. Nabi bertanya lagi; “Apakah kamu mempunyai ibu saudara (sebelah ibumu)?”. Jawabnya; ‘Ya’. Balas Nabi; “Berbaktilah kepadanya” (Hadis riwayat Imam at-Tirmizi dan Ibnu Hibban. Lihat; al-Muntaqa, hadis no. 1486).

 Bagaimana berbakti kepada ibu-bapa setelah kematian mereka

 Berbakti kepada ibu-bapa setelah kematian mereka ialah dengan sentiasa mendoakan mereka, beristighfar untuk mereka, melaksanakan wasiat atau perjanjian mereka, melangsaikan hutang-hutang mereka (hutang dengan Allah dan juga hutang dengan manusia), menghubungkan ikatan persaudaraan dengan sanak saudara dan rakan-rakan mereka ketika hidup dulu. Untuk lebih memahaminya, ikutilah hadis-hadis di bawah;

 (1) Sabda Nabi;

 إذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إلاَّ مِنْ ثَلاَثَةِ: إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

“Apabila mati seorang manusia terputuslah pahala amalannya kecuali yang datang dari tiga perkara;

  1. Sedekah jariyah
  2. Ilmu yang diambil manfaat dengannya.
  3. Anak yang soleh yang mendoakannya”

(Hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.).

 (2) Sabda Nabi;

 إِنَّ الرَّجُلَ لَتُرْفَعُ دَرَجَتُهُ فِي الْجَنَّةِ فَيَقُولُ: أَنَّى هذَا؟ فَيُقَالُ: بِاسْتِغْفَارِ وَلَدِكَ لَكَ

“Sesungguhnya seorang lelaki diangkat kedudukannya di dalam syurga. Lalu ia bertanya; ‘Dari mana datangnya anugerah ini (untukku)?’. Maka dijawab kepadanya; “Kerana istighfar dari anakmu untukmu” (Riwayat Imam Ahmad, Ibnu Majah, al-Baihaqi, al-Bazzar dan at-Tabrani dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-. Menurut Imam al-Haithami; perawi-perawi hadis ini adalah soheh. Lihat; Faidhul-Qadier, hadis no. 1992).

 (3) Sabda Nabi;

 من أحب أن يصل أباه في قبره فليصل إخوان أبيه بعده

“Sesiapa yang suka untuk menghubungkan ikatan dengan bapanya di dalam kuburnya, maka hubungkanlah ikatan persaudaraan dengan saudara-saudara bapanya selepas kematiannya” (Hadis riwayat Imam Ibnu Hibban dari Abi Burdah r.a.. Lihat; al-Muntaqa, hadis no. 1489).

 (4) Sabda Nabi;

 إِنَّ أَبَرَّ الْبِرِّ أَنْ يَصِلَ الرَّجُلُ أَهْلَ وُدِّ أَبِيهِ

“Sesungguhnya sebaik-baik kebaktian kepada bapa ialah dengan si anak menjadi tali persaudaraan dengan orang-orang yang dikasihi bapanya” (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abdullah bin ‘Umar r.a.).

 (5) Abi Asid Malik bin Rabi’ah as-Sa’idi menceritakan; Pada ketika kami sedang duduk bersama Rasulullah, tiba-tiba datang seorang lelaki dari Bani Salamah bertanya baginda; ‘Ya Rasulullah, dapatkah lagi aku berbakti kepada dua ibu-bapaku setelah kematian mereka?’. Jawab Nabi;

 نَعَمْ، الصَّلَاةُ عَلَيْهِمَا وَالِاسْتِغْفَارُ لَهُمَا وَإِنْفَاذُ عَهْدِهِمَا مِنْ بَعْدِهِمَا وَصِلَةُ الرَّحِمِ الَّتِي لَا تُوصَلُ إِلَّا بِهِمَا وَإِكْرَامُ صَدِيقِهِمَا

“Ya, iaitu kamu berdoa untuk kedua mereka, beristighfar untuk mereka, melaksanakan janji mereka setelah ketiadaan mereka, menghubungkan ikatan persaudaraan yang tidak dapat dihubung melainkan dengan mereka berdua dan memuliakan teman-teman mereka” (Hadis riwayat Imam Abu Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban. Lihat; al-Muntaqa, hadis no. 1487).

 Ancaman terhadap orang yang menderhakai ibu-bapa

 (1) Sabda Nabi;

 أَكْبَرُ الْكَبَائِرِ الْإِشْرَاكُ بِاللَّهِ وَقَتْلُ النَّفْسِ وَعُقُوقُ الْوَالِدَيْنِ وَقَوْلُ الزُّورِ أَوْ قَالَ وَشَهَادَةُ الزُّورِ

“Dosa-dosa yang paling besar ialah;

  1. Mensyirikkan Allah
  2. Membunuh manusia
  3. Menderhaka dua ibu-bapa
  4. Ucapan palsu atau memberi kesaksian palsu”

(Hadis riwayat Imam al-Bukhari dari Anas bin Malik r.a.).

 (2) ‘Amru bin Murrah al-Juhani r.a. menceritakan; Seorang lelaki datang kepada Nabi dan berkata; ‘Ya Rasulullah, aku telah bersaksi bahawa ‘Tiada Tuhan melainkan Allah’ dan bahawa ‘Sesungguhnya engkau adalah Rasul Allah’, aku telah menunaikan solat lima waktu, aku telah mengeluarkan zakat dan aku telah berpuasa Ramadhan’. Lantas Nabi bersabda;

 مَنْ مَاتَ عَلَى هَذَا كَانَ مَعَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ هَكَذَا وَنَصَبَ إِصْبَعَيْهِ مَا لَمْ يَعُقَّ وَالِدَيْهِ

“Sesiapa mati di atas amalan-amalan tersebut ia akan bersama para Nabi, as-Siddiqien dan Syuhadak pada hari kiamat seumpama ini –sambil baginda – selama ia tidak menderhakai dua ibu-bapanya” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan at-Thabrani dengan sanad yang baik. Lihat; al-Muntaqa, hadis no. 1494).

Nota hujung;

[1] Lihat; Mughni al-Muhtaj, kitab an-Nafaqaat.

[2] As-Suluk al-Ijtima’iyyah, Syeikh Hasan Ayyub, halaman 259.

Comments powered by CComment

Joomla! Debug Console

Session

Profile Information

Memory Usage

Database Queries