Laman Info Agama Anda

MEMPERTEGUHKAN EKONOMI UMMAH; peranan kita bersama

Islam menginginkan agar penganutnya menjadi orang kaya. Kaya tidak hanya bermaksud kita memiliki wang berjuta atau ratusan ribu atau puluhan ribu. Kaya boleh bermaksud kaya jiwa atau kita memiliki kecukupan hidup yang menyelamatkan kita dari kemiskinan hingga terpaksa meminta-minta atau bergantung kepada orang lain. Dalam hadis, Nabi SAW pernah bersabda;

 مَنْ أَصْبَحَ مِنْكُمْ آمِنًا فِي سِرْبِهِ مُعَافًى فِي جَسَدِهِ عِنْدَهُ قُوتُ يَوْمِهِ فَكَأَنَّمَا حِيزَتْ لَهُ الدُّنْيَا

“Sesiapa di kalangan kamu bangun pada waktu pagi dalam keadaan damai tempat tinggalnya, sihat tubuh badannya dan memiliki makanan hariannya, maka dunia seolah-olah telah dihimpunkan untuknya” (Sunan at-Tirmizi; 2346. Dari ‘Ubaidillah bin Mihshan al-Ansari RA. Menurut at-Tirmizi; hadis hasan gharib).

Dalam dunia hari ini, kekayaan suatu bangsa bergantung kepada sejauhmana bangsa itu berupaya meningkatkan taraf ekonomi mereka. Bagi kita umat Islam, ada dua cabaran yang mesti kita depani untuk mengukuhkan ekonomi bangsa kita kaum muslimin di zaman yang amat mencabar ini.

CABARAN PERTAMA; MENGUKUHKAN EKONOMI SETIAP INDIVIDU MUSLIM

Cabaran ini penting untuk disahut kerana ekonomi ummah tidak akan cemerlang jika individu-individunya hidup dalam serba kedaifan dan kemiskinan. Bagi menyahut cabaran ini setiap dari kita perlu mengambil inisiatif untuk memajukan diri dan meningkatkan pendapatan sendiri. Kita perlu bersungguh-sungguh melaksanakan saranan al-Quran dan as-Sunnah yang meminta kita agar rajin berusaha mencari rezki Allah yang luas di atas muka bumi ini. Firman Allah;

 هُوَ ٱلَّذِي جَعَلَ لَكُمُ ٱلۡأَرۡضَ ذَلُولٗا فَٱمۡشُواْ فِي مَنَاكِبِهَا وَكُلُواْ مِن رِّزۡقِهِۦۖ وَإِلَيۡهِ ٱلنُّشُورُ ١٥

“Dialah (Allah) yang menjadikan bumi bagi kamu mudah diterokai, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakanNya; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya)” (surah al-Mulk, ayat 15).

 Nabi SAW mengajar kita agar sentiasa berdikari dan menjauhi sikap suka meminta-minta dan bergantung hidup kepada orang lain. Baginda bersabda;

 “Tidak membuka seorang lelaki pintu kepada meminta-minta melainkan Allah akan membuka di hadapannya pintu kemiskinan. Sesiapa mencari kemuliaan diri, Allah akan menjadikannya mulia. Sesiapa mencari kekayaan diri, Allah akan mengkayakannya. Jika seorang kamu mengambil seutas tali, lalu mencari kayu api di lembah, kemudian membawanya ke pasar dan menjualnya dan hasil jualannya dia membeli makanan untuk dimakannya, nescaya itu lebih baik baginya dari meminta kepada orang lain sama ada diberi atau ditolak permintaanya” (Musnad Ahmad; 9421. Soheh Ibnu Hibban; 3387. Dari Abu Hurairah RA. Menurut Syeikh Syu’aib al-Arnaut; isnadnya soheh).

 Lihatlah semangat yang diberikan Nabi SAW kepada kita untuk rajin berusaha dan berdikari. Jelas dari hadis tersebut bahawa rajin berusaha dan berdikari membawa kita kepada kekayaan dan kemuliaan hidup. Malas berusaha dan suka meminta-minta pula akan membawa kita kepada kemiskinan dan kehinaan.

 Dalam hadis yang lain, Nabi SAW menegaskan bahawa orang yang berusaha mencari pendapatan bagi mencukupkan keperluan diri dan keluarganya dia sebenarnya sedang berjihad di jalan Allah;

 وَمَنْ سَعَى عَلَى عِيَالِهِ فَفِي سَبِيلِ اللهِ , وَمَنْ سَعَى عَلَى نَفْسِهِ لِيُعِفَّهَا فَفِي سَبِيلِ اللهِ،

“Sesiapa berusaha mencari pendapatan untuk keluarga dan dirinya bagi memelihara diri (dari meminta-minta kepada orang lain), maka dia berada di jalan Allah” (Syu’abil Iman, Imam al-Baihaqi; 8338. As-Silsilah as-Sohehah; 3284).

CABARAN KEDUA; MEMAJUKAN EKONOMI UMMAH SECARA KOLEKTIF

Kita tidak boleh berhenti pada kejayaan diri sendiri sahaja, akan tetapi perlu melangkah lebih jauh untuk membina kejayaan masyarakat umat Islam di sekeliling kita dan seterusnya kejayaan ummah pada peringkat global. Seorang muslim diajar oleh Nabi SAW untuk sentiasa mengambil berat urusan berkaitan kaum muslimin yang lain kerana itu adalah tanda kebersamaannya dengan mereka sebagai satu umat. Baginda bersabda;

 مَنْ لَا يَهْتَمُّ بِأَمْرِ الْمُسْلِمِينَ فَلَيْسَ مِنْهُمْ

“Sesiapa yang tidak mementingkan urusan kaum muslimin, maka dia bukan dari kalangan mereka” (al-Mu’jam al-Awsat, Imam at-Tabrani; 7473. Dari Huzaifah RA).

 Maka di samping tindakan kita untuk memajukan ekonomi diri, kita juga perlu menyumbang untuk memajukan ekonomi masyarakat Islam di sekitar kita. Sebagaimana kita secara individu perlu berdikari, tidak boleh bergantung kepada orang lain, begitu juga dengan masyarakat dan umat Islam perlu menjadi masyarakat dan umat yang berdikari dalam negara sendiri atau di peringkat dunia (global). Jika ekonomi diterajui oleh orang lain sehingga kita amat bergantung kepada pihak lain (dalam produktiviti dan juga pasaran), kita mudah diperkotak-katikkan oleh pihak-pihak yang memusuhi kita melalui kuasa ekonomi yang ada pada mereka.

 Kita hendaklah mengambil iktibar dari peristiwa yang pernah terjadi kepada Nabi dan para sahabat di zaman awal Islam, iaitu  peristiwa kepungan dan pemulauan yang dilakukan oleh musyrikin Mekah terhadap kaum muslimin di kota Mekah. Kaum musyrikin dengan segala pengaruh dan kekuatan mereka pada ketika itu telah berpakat untuk memencilkan Nabi Muhammad dan kaum muslimin di satu lorong di Mekah, kemudian semua kabilah di Mekah dihalang dari berurusan dengan kaum muslimin termasuk urusan perekonomian (jual-beli, bantuan makanan dan sebagainya). Kepungan tersebut berjalan dalam jangka masa yang agak panjang iaitu 3 tahun (dari tahun ke 7 hingga tahun ke 10 kenabian). Kita membaca di dalam cacatan sirah betapa peritnya kaum muslimin ketika itu hingga membawa kepada kebuluran, terdengar suara rintihan kanak-kanak dan orang tua kerana lapar. Ada ketikanya terpaksa mengunyah daun-daun kayu dan kulit-kulit kerana tiada makanan untuk dimakan kerana semuanya disekat oleh kaum musyrikin dari sampai kepada kaum muslimin. Namun dengan pertolongan Allah dan berkat ketahanan Nabi dan para sahabat serta semangat ukhuwwah sesama sendiri menyebabkan kaum muslimin berjaya mengharungi pemulauan tersebut dengan jayanya. Situasi serupa tidak mustahil berulang di zaman ini, justeru kita perlu membina ketahanan ummah, termasuk mempersiapkan keutuhan ekonomi ummah yang menghalang pihak lain dari menekan kita melalui pengaruh aspek kewangan dan ekonomi.

 Bagi mendepani cabaran kedua ini, antara langkah yang perlu diberi perhatian ialah menghidupkan semangat ukhuwwah Islamiyah dalam usaha memperkasakan ekonomi masyarakat Islam. Ukhuwwah Islamiyah perlu diperluaskan skop penghayatannya, iaitu bukan hanya pada kesedaran untuk saling kasih mengasihi dan menyanyangi sesama muslim, akan tetapi diperluaskan kepada saling berkerjasama dan tolong menolong dalam membina kehidupan termasuk memperteguhkan ekonomi sesama kita kaum muslimin.

 Untuk membangunkan ekonomi ummah hingga berjaya menjadi peneraju kepada ekonomi negara dan dunia, masyarakat umat Islam perlu menguasai dua bidang ekonomi yang pernah disebut oleh Nabi SAW dalam hadisnya sebagai bidang perkerjaan/pengusahaan terbaik, iaitu;

  1. Pekerjaan dengan tangan sendiri
  2. Perniagaan (boleh diperluaskan maknanya kepada bidang pemasaran)

 Rafi’ bin Khadij RA menceritakan; Nabi SAW pernah ditanya; ‘Wahai Rasul Allah, apakah pekerjaan yang paling baik?’. Baginda menjawab; “Pekerjaan seseorang itu dengan tangannya sendiri dan semua perniagaan yang baik” (Musnad Ahmad; 17265. Menurut Syeikh al-Arnaut; hadis hasan lighairih).

 Pekerjaan dengan tangan sendiri boleh kita perluaskan pengertiannya hari ini kepada bidang pengeluaran atau perusahaan. Perniagaan pula boleh kita perluaskan pengertiannya kepada bidang pemasaran. Kedua-dua bidang ini perlu dikuasai oleh kaum muslimin jika mereka ingin menguasai kemajuan ekonomi masa kini.

 Dengan semangat ukhuwwah kita dapat saling bantu-membantu sesama kita untuk mencapai kemajuan dalam kedua-dua bidang ekonomi tersebut. Dalam bidang pengeluaran/perusahaan, atas semangat ukhuwwah kita perlu sentiasa mengutamakan barang-barang atau produk-produk keluaran muslim dalam setiap pembelian kita. Dalam bidang perniagaan/pemasaran pula, ramai di sekeliling kita saudara-saudara muslim yang berniaga, maka peranan kita ialah memberi sokongan kepada mereka dengan menjadi pelanggan tetap kedai-kedai atau gedung perniagaan milik muslim. Janganlah keghairahan kita membeli-belah di pasaraya-pasaraya besar menyebabkan kita meninggalkan kedai-kedai milik saudara kita yang akhirnya sikap kita menjadi punca mereka gulung tikar. Ingatlah, dengan menolong saudara kita bermakna kita sedang menolong diri kita sendiri kerana Nabi SAW bersabda;

 وَاللهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ

“Allah akan sentiasa menolong seorang hamba selama dia menolong saudaranya” (Soheh Muslim; 2699/38. Dari Abu Hurairah RA).

LANGKAH KE DEPAN

 Mengakhiri tulisan ini, saya mengesyorkan langkah-langkah berikut untuk kita fikirkan dan praktikkan bersama;

 Pertama; kita mesti bersedia mengubah mentaliti sedia ada yang ada pada kita hari ini yang menjadi faktor kemunduran kita. Banyak pihak –termasuk kerajaan dan agensi-agensi bukan kerajaan- yang bersedia membantu kita untuk maju dalam hidup, namun kita tidak akan berubah selagi kita tidak mengubah mentaliti kita secara menyeluruh dari mentaliti masyarakat mundur kepada mentaliti masyarakat maju, antaranya; sentiasa bermatlamat, mengejar taraf hidup yang lebih baik, sentiasa ingin belajar dan menimba ilmu dari orang lain yang lebih maju dari kita, memiliki ketahanan jiwa, berdaya saing dan tidak mudah putus asa, berdisiplin dan bijak mengurus diri dan perkerjaan, memandang kejayaan masa depan, bukan hanya mementingkan kepuasan masa kini, saling tolong-menolong sesama sendiri, tidak hanya mementingkan diri sendiri

 Kedua; kita hendaklah memberi tumpuan untuk menambah pendapatan diri kerana di zaman kos sara hidup yang semakin meningkat ini, hanya dengan pendapatan yang kukuh sahaja kita dapat merealisi kehendak Syariat yang mahukan umatnya berdikari dan mengelak dari bergantung hidup dengan orang lain (termasuk sikap suka meminta-minta).

 Ketiga; umat Islam hari ini perlu menceburkan diri dengan aktif dalam bidang pengeluaran/perusahaan dan perniagaan/pemasaran kerana dengan menguasai dua bidang ekonomi ini kita dapat menerajui ekonomi negara dan dunia. Kita perlu membuang mentaliti sebagai bangsa pengguna, sebaliknya kita perlu mengorak langkah untuk menjadi bangsa pengeluar, pengusaha dan peneraju pasaran.

 Keempat; umat Islam perlu bergerak secara kolektif dalam memajukan ekonomi, bukan sendiri-sendiri. Sentiasalah kita memberi dokongan kepada rakan muslim yang lain dalam bidang pengeluaran, perusahaan, perniagaan atau pemasaran. Hidupkan semangat ukhuwwah sesama kita. Buangkan sikap iri hati sesama sendiri, sebaliknya suburkan sikap ingin membantu dan berasa gembira dan bangga melihat kejayaan saudara seagama.

 وَقُلِ ٱعۡمَلُواْ فَسَيَرَى ٱللَّهُ عَمَلَكُمۡ وَرَسُولُهُۥ وَٱلۡمُؤۡمِنُونَۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَٰلِمِ ٱلۡغَيۡبِ وَٱلشَّهَٰدَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ ١٠٥

“Dan katakanlah (wahai Muhammad): ‘Berkerjalah kamu, maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan (semasa di dunia)” (surah at-Taubah, ayat 105).

Jika kita berusaha bersungguh-sungguh, akan muncul fajar ekonomi ummah esok hari, diikuti dhuhanya, serta siangnya yang berpanjangan insya Allah.

 

Comments powered by CComment

Joomla! Debug Console

Session

Profile Information

Memory Usage

Database Queries