Laman Info Agama Anda

MEMAHAMI TENTANG AKAL (dari pandangan Imam al-Mawardi)

Artikel ini lanjutan dari artikel sebelum ini dari kitab ADAB AL-DUNYA WA AL-DIN (Adab Kehidupan Dunia dan Agama), karya Imam al-Mawardi, bertajuk; MENGUKUR ILMU; Dari Minda IMAM AL-MAWARDI.

Dalam siri ini, saya akan mengupas pandangan beliau tentang akal. Kupasan dilakukan secara soal-jawab supaya pembaca dapat mengikuti mauduk persoalan demi persoalan, dengan itu dapat menyerap pemahaman dengan mudah.

Kenapa akal penting?

1. Kerana akal adalah dasar bagi keutamaan dan adab dalam hidup. Tanpa akal kita tidak akan berjaya mencapai keutamaan hidup dan mempersiapkan diri dengan adab-adab atau akhlak yang diperlukan untuk kebahagiaan hidup duniawi dan ukhrawi kita.

2. Taklif syariat sendiri diikat dengan akal, di mana tuntutan Syarak hanya diwajibkan ke atas mukallaf dan maksud mukallaf ialah seorang yang telah baligh dan sempurna akalnya (yakni waras).

3. Urusan dunia itu sendiri diserahkan Allah untuk ditadbir dengan kebijaksanaa akal manusia.

Apakah dalil dari al-Quran tentang kepentingan akal?

Di dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang menjadi bukti kepentingan akal, antaranya ayat;

وَقَالُواْ لَوۡ كُنَّا نَسۡمَعُ أَوۡ نَعۡقِلُ مَا كُنَّا فِيٓ أَصۡحَٰبِ ٱلسَّعِيرِ 

“Mereka (yakni ahli-ahli nerala) berkata: "Sekiranya kami (ketika di dunia dahulu) mendengar (ajakan Rasul) atau menggunakan akal (memikirkan ajakan tersebut) nescaya tidaklah kami termasuk penghuni-penghuni neraka yang menyala-nyala" (surah al-Mulk, ayat 10).

Jelas dari ayat ini bahawa antara faktor manusia dihumbankan ke dalam neraka ialah tidak mahu menggunakan kemampuan akal yang dianugerahkan Allah untuk berfikir, terutamanya merenung ayat-ayat (tanda-tanda kebesaran) Allah.

Apakah ungkapan-ungkapan hikmah dari Salaf Soleh tentang kepentingan akal?

"Asas kekuatan seseorang ialah akal, kemuliaannya ialah agamanya dan maruahnya ialah akhlaknya" (Saidina 'Umar RA).

"Jika Allah menyimpan akal ke dalam diri seseorang, Dia pasti menyelamatkannya dengan akal itu" (al-Hasan al-Basri).

"Akal adalah harapan paling utama, kebodohan pula adalah musuh yang paling membawa bencana" (Hukamak).

"Teman sebenar ialah akal, musuh sebenar ialah kebodohan" (Hukamak).

"Sebaik-baik kurniaan Allah ialah akal dan seburuk-buruk musibah ialah kebodohan" (Hukamak).

Apa maksud akal?

Terdapat beberapa definisi diberikan ulamak tentang akal;

1. "Akal ialah jisim halus dalam diri manusia yang membolehkannya membezakan antara hakikat benda-benda atau perkara-perkara yang diketahuinya".

2. "Akal ialah kemampuan untuk menanggapi/memahami perkara-perkara atas makna/pengertian sebenarnya", atau "kemampuan untuk memahami makna sebenar tentang setiap perkara".

3. "Akal ialah ilmu/pengetahuan tentang kefahaman-kefahaman daruri yang tertanam dalam diri manusia". Kefahaman-kefahaman daruri ini datang dari dua sumber;

(pertama) melalui deria-derianya, seperti memahami pemandangan melalui deria lihat, memahami suara melalui deria dengar, memahami rasa makanan melalui deria rasa dan memahami bau melalui deria bau. Maka seorang yang memiliki ilmu tentang tanggapan/kefahaman deria-deria ini, ia adalah seorang berakal. Jika dia tidak dapat memahami tanggapan-tanggapan derianya, dia bukan seorang yang berakal.

(kedua) melalui prinsip-prinsip yang sedia tertanam dalam jiwanya, seperti prinsip; satu kurang dari dua, prinsip; sesuatu itu tidak dapat lari dari ada atau tiada, qidam (sedia ada) atau huduth (baharu, yakni diciptakan) dan prinsip; dua perkara yang berlawanan mustahil berlaku serentak pada satu benda, contohnya; mustahil seseorang itu hidup dan mati pada masa yang sama.

Dengan memiliki ilmu berupa kefahaman-kefahaman daruri tersebut (yang datang datang melalui indera-indera atau fitrah yang tertanam dalam diri) seseorang itu dianggap memiliki potensi akal yang sempurna.

Menurut Imam al-Mawardi, definisi akal yang ketiga itulah yang soheh.

Di mana letaknya akal?

Para ulamak berbeza pandangan dalam menjawab persoalan ini;

(Pandangan pertama) akal berpusat di otak, kerana otak merupakan tempat memproses isyarat-isyarat deria tadi.

(Pandangan kedua) akal berpusat di hati, kerana hati adalah tempat mengalirnya kehidupan dan membekalkan perasaan-perasaan (yakni hati adalah pusat bertapaknya ruh/kehidupan dan perasaan, kemudian dari hati ruh dan perasaan itu mengalir ke otak dan seterusnya ke segenap tubuh).

Apa hujah pandangan yang berkata akal pusatnya di hati?

Iaitu firman Allah;

أَفَلَمۡ يَسِيرُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَتَكُونَ لَهُمۡ قُلُوبٞ يَعۡقِلُونَ بِهَآ أَوۡ ءَاذَانٞ يَسۡمَعُونَ بِهَاۖ فَإِنَّهَا لَا تَعۡمَى ٱلۡأَبۡصَٰرُ وَلَٰكِن تَعۡمَى ٱلۡقُلُوبُ ٱلَّتِي فِي ٱلصُّدُورِ 

"Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu ada pada mereka hati yang mana mereka mengakali (yakni berfikir) dengannya (yakni dengan hati-hati itu), dan telinga yang mana mereka mendengar dengannya? Karena sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada" (surah al-Hajj, ayat 46).

Ayat ini -menurut Imam al-Mawardi- menunjukkan kepada kita dua perkara;

1. Akal adalah ilmu/pengetahuan. Maksudnya, akal bukan merujuk kepada alat atau anggota dalam tubuh, akan tetapi fungsi dan peranan hati iaitu menimba ilmu melalui berfikir.

2. Akal pusatnya ialah di hati, yakni antara fungsi hati ialah mengakali (yakni berfikir).

Ungkapan "يَعۡقِلُونَ بِهَآ" (mereka mengakali dengan hati-hati mereka) dalam ayat tersebut terdapat dua tafsiran ulamak;

1. Ia bermaksud; mereka menimba ilmu/pengetahuan dengannya. Maksudnya, dengan mengembara ke serapa pelusuk bumi, hati-hati mereka dapat berfikir dan menimba ilmu./pengetahuan (khususnya tentang kebesaran Allah) dari peristiwa-peristiwa yang berlaku di atas muka bumi.

2. Ia bermaksud mereka mengambil iktibar menggunakan hati-hati mereka. Maksudnya, dengan mengembara di muka bumi, mudah-mudahan hati mereka berfikir dan mengambil iktibar dari peristiwa-peristiwa yang berlaku di bumi.  

Apa fungsi akal?

Ada dua fungsi utama akal;

1. Mengenali hakikat-hakikat sesuatu (معرفة الحقائق)

2. Membezakan antara kebaikan dan kejahatan/keburukan

Terdapat riwayat menyebutkan;

العقل نور في القلب يفرق بين الحق والباطل

"Akal adalah cahaya bagi hati, agar hati membezakan antara yang hak dan yang batil|".

Apakah ada kaitan kalimah akal dengan fungsi akal itu sendiri?

Ya, ada kaitan. Kalimah akal berasal dari perkataan bahasa Arab' al-'aql (العقل) yang memberi maksud ikatan. Menurut Imam al-Mawardi; potensi berfikir dalam diri manusia diberi nama akal (العقل) kerana ia mengikat (mengawal) syahwat-syahwat dalam diri manusia, dalam erti lain akal akan menahan manusia (yang mahu memanfaatkannya) dari terpengaruh dengan godaan-godaan syahwat (keinginan) yang buruk, iaitu sama seperti ikatan pada unta mengawalnya dari bertindak liar. 

Amir bin Abd al-Qais berkata;

إذا عقلك عقلك عما ينبغي فأنت عاقل

"Jika akalmu mengikatmu dari suatu yang tidak sepatutnya kamu lakukan, maka kamu benar berakal".

Kesimpulannya, dengan akal manusia dapat berfikir sebelum bertindak. Dengan itu, tindakannya tidaklah terburu-buru, semata-mata mengikut nafsu atau kenginan.

Berapa jenis akal?

Ada dua jenis;

1. Akal gharizi, iaitu kebolehan berfikir semulajadi atau dipanggil juga akal potensi, yakni manusia dilahirkan bersama potensi akal secara semulajadi yang membolehkannya berfikir. Menurut al-Mawardi; maksud akal yang dihuraikan sebelum ini (iaitu ilmu/pengetahuan tentang kefahaman-kefahaman daruri), pusat akal (iaitu di hati) dan sumber akal (iaitu indera-indera dan prinsip-prinsip yang sedia tertanam dalam jiwa tadi) semuanya berada dalam lingkungan akal gharizi ini. Akal gharizi ini merupakan batasan tetap yang diikat taklif dengannya, iaitu batasan yang sama bagi semua manusia (jika dia ditakdirkan akan menjadi mukallaf) tanpa ada yang berlebihan atau berkurangan antara satu sama lain. Maksudnya semua manusia diberi batasan akal gharizi yang sama, yang membezakannya dari haiwan. Kemudian bertolak dari akal gharizi ini, manusia boleh mengembangkan akalnya ke tahap yang lebih sempurna jika ia mahu (iaitu melalui akal kasbi yang akan disebut nanti). Berkata Soleh bin Abd al-Quddus;

إذا تم عقل المرء تمت أموره

وتمت أمانيه وتم بناؤه

"Jika sempurna akal seorang insan,

akan sempurnalah urusan-urusannya,

lalu sempurnalah cita-citanya,

sekaligus binaannya turut sempurna".

2. Akal kasbi, iaitu daya akal yang diusahakan. Yakni bertitik-tolak dari akal gharizi tadi, kemampuan akal dikembangkan hingga mencapai makrifah (ilmu/pengetahuan) yang seluasnya, siyasah yang benar dan pemikiran yang lurus tanpa ada batasan tertentu, kerana daya/kemampuan akal akan semakin tumbuh jika digunakan dan semakin berkurangan jika diabaikan. Pertumbuhan daya akal seseorang bergantung keapada dua faktor;

a) Sejauhmana dia mengaktifkan akalnya

b) Sejauhmana kecerdikan

Bersambung...siri 2, insya Allah

Rujukan;

(1) Adab al-Dunya wa al-Din, Imam al-Mawardi, m.s. 9-12.

Comments powered by CComment

Joomla! Debug Console

Session

Profile Information

Memory Usage

Database Queries