Laman Info Agama Anda

MENGUKUR ILMU; dari minda IMAM AL-MAWARDI

Dalam mukadimah kitabnya ADAB AL-DUNYA WA AL-DIN (Adab kehidupan berdunia dan beragama)Imam al-Mawardi (wafat 429 hijrah) menekankan keperluan kita mengukur sejauhmana bernilai ilmu yang kita cari. Saya simpulkan dalam bait-bait berikut, diikuti dengan syarahnya;

Pentingkah ilmu yang kita cari?

             bagaimana  kita mengukurnya?

Kata al-Mawardi; lihatlah natijahnya

            apakah meluruskan agama dan mengelokkan dunia kita?

Lurus agama, luruslah ibadah

            kerana untuk ibadah kita dihidupkan

Elok dunia, tercapailah bahagia

           kerana dari situ datang bahagia.

Lalu bagaimana mencapainya?

           melalui adab; adab berdunia dan adab beragama

lantas dari mana ingin bermula?

          dari mengenal akal, meluruskannya

Ulasan;

(1) Imam al-Mawardi dalam kitabnya itu ingin mengasuh kita adab-adab agama (ibadah) dan adab-adab menjalani kehidupan duniawi. Namun beliau bermula dengan mengajar kita bagaimana mengukur nilai ilmu, iaitu dengan memeriksa natijah (kesudahan) ilmu tersebut? Kata beliau;

"Nilai suatu ilmu bergantung kepada natijahnya, yakni sejauhmana kerugian yang kita akan tanggung (jika mengabaikannya) dan banyak mana pula keuntungan yang bakal kita perolehi (jika mencari dan memilikinya)" (m.s. 7).

Kita hidup di dunia ada tujuan yang ditetapkan Allah iaitu ibadah. Di atas tujuan itu kita akan dihisab nanti di akhirat. Di dunia juga peluang kita untuk mengecapi kebahagiaan. Jika ilmu yang kita cari itu menatijahkan kelurusan agama (dengan lurus agama, luruslah ibadah) dan keelokan hidup duniawi kita (kerana dari situ datangnya kebahagiaan duniawi, malah ukhrawi), maka ilmu itu sememangnya ilmu yang bernilai untuk kita cari. Namun jika najitah adalah sebaliknya, maka kita sebenarnya membuang masa mencari ilmu yang tidak berguna itu.

(2) Setelah mencapai kepastian tentang matlamat yang ingin dicapai dalam pencarian iilmu, timbul pula persoalan; ilmu apa yang dapat meluruskan agama dan mengelokkan kehidupan duniawi kita tadi? Menurut beliau; ilmu tentang adab, adab beragama dan adab hidup di dunia, iaitu cara yang benar menguruskan kehidupan beragama (ibadah) dan kehidupan duniawi. Kata beliau;

"Perkara paling bernilai dan paling bermanfaat dalam hidup ini ialah perkara yang dapat meluruskan agama dan dunia (kita), dengannya kebaikan dunia dan akhirat tersusun rapi, kerana dengan lurusnya agama akan benarlah ibadah dan dengan eloknya dunia akan sempurnalah kebahagiaan" (m.s. 7). 

(3) Setelah dikenali ilmu yang hendak dicari itu, perlu mengetahui pula; dari mana hendak bermula. Jawapannya, dari mengenali akal dan menguruskan akal. Kata beliau;

"sedarilah, setiap kemuliaan ada dasarnya dan setiap adab ada mata airnya. Dasar dan mata-air bagi semua kemuliaan dan semua adab ialah akal,. Allah menjadikan akal sebagai asas bagi agama dan tiang bagi dunia" (m.s. 9).

(4) Maka buku/kitab beliau (setelah mukadimah) dimulai dengan mengupas tentang akal. Keseluruhan isi kitab itu mengandungi lima bab;

Bab pertama; kelebihan akal

Bab kedua; adab-adab menuntut ilmu

Bab ketiga; adab beragama

Bab keempat; adab berdunia

Bab kelima; adab jiwa (diri)

Kupasannya merangkumi ayat-ayat al-Quran, hadis-hadis Nabi SAW, kata-kata hikmah dari sahabat dan salafus-soleh serta untaian syair para penyair agung Arab.

 

Comments powered by CComment

Joomla! Debug Console

Session

Profile Information

Memory Usage

Database Queries