Laman Info Agama Anda

FADHILAT SOLAT AWAL WAKTU

Abdullah bin Mas’ud RA menceritakan; aku pernah bertanya Nabi SAW; apakah amalan yang paling disukai Allah? Baginda SAW menjawab; 

الصَّلاةُ عَلَى وَقْتِهَا

“Solat pada waktunya”.

Aku bertanya lagi; setelah itu apa? Baginda SAW menjawab;

بِرُّ الْوَالِدَيْنِ

“Berbuat baik kepada ibu-bapa”.

Aku bertanya lagi; setelah itu apa? Baginda SAW menjawab;

الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

“Jihad di jalan Allah”.

Baginda menyebutkan amalan-amalan itu kepadaku. Jika aku minta ditambah lagi, nescaya baginda akan menambahnya.

(HR al-Bukhari dan Muslim. ‘Umdatul Ahkam; 50).

Fiqh hadis

Dari hadis ini kita dapat memahami beberapa perkara tentang agama;

(1) Kelebihan suatu amalan dalam Islam bergantung sejauhmana kecintaan (yakni keredhaan) Allah kepada amalan tersebut.

(2) Galakan agar kita mencari dan mengutamakan yang terbaik dalam beramal untuk Allah.

(3) Dalam hadis di atas dinyatakan bahawa amalan terbaik ialah solat pada waktunya, diikuti berbuat baik kepada ibu-bapa dan berikutnya berjihad di jalan Allah. Namun dalam hadis yang lain, berbeza pula jawapan yang diberikan baginda;

  1. Dalam hadis Abu Hurairah RA, baginda SAW menyatakan; amalan terbaik ialah iman, diikuti jihad dan berikutnya haji (HR al-Bukhari; 26. Soheh Muslim; 83).

  2. Dalam hadis Abdullah bin ‘Amru RA, bila ditanya kepada baginda SAW; amalan Islam yang mana paling baik?, baginda menjawab; “Kamu memberi makan dan kamu memberi salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenali” (Soheh al-Bukhari; 12. Soheh Muslim; 39).

  3. Dalam hadis Abu Zarr RA; iman dan jihad (Soheh al-Bukhari; 2382. Soheh Muslim; 84).

  4. Dalam hadis Abu Musa RA dan Abdullah bin Amru RA; baginda SAW ditanya, siapakah muslim terbaik?, lalu baginda menjawab; “Seorang yang selamat orang-orang Islam yang lain dari kejahatan lidah dan tangannya” (Soheh al-Bukhari; 11. Soheh Muslim; 42).

  5. Dalam hadis Usman RA, baginda SAW bersabda; “Orang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya” (Soheh al-Bukhari; 4739).

Menurut ulamak, Nabi SAW memberi jawapan dengan mengambil kira situasi orang yang bertanya atau situasi ketika itu (yakni apa yang menjadi keutamaan ketika itu) atau situasi hadirin yang hadir ketika soalan itu ditanya. Kesimpulannya, semua amalan yang disyariatkan agama semuanya baik belaka dan berpotensi menjadi amalan terbaik melihat kepada keperluan dan kepentingan individu atau semasa. Amalan terbaik secara mutlak (berbanding semua amalan) adalah iman, kerana tanpa iman semua amalan tiada nilai di sisi Allah SWT (Ibnu al-’Attar, 1/ 285).

Apa maksud solat pada waktunya?

Solat pada waktunya boleh memberi maksud menjaga solat (iaitu solat fardhu) dengan melakukannya dalam waktunya, yakni jangan melewat-lewatkannya hingga keluar dari waktu yang ditetapkan. 

Namun di sana terdapat hadis dari Ummu Farwah RA yang menceritakan; Nabi SAW pernah ditanya; apakah amalan terbaik? Lalu baginda SAW menjawab; 

‌الصَّلاة ‌في ‌أوّلِ ‌وَقتِها

“Solat pada awal waktunya” (Sunan Abu Daud; 426).

Menurut Ibnu al-’Attar; Imam Abu Daud meriwayatkan hadis ini tanpa mengkomentarnya, menunjukkan hadis ini di sisi beliau adalah hasan. Hadis yang sama turut direkodkan al-Tirmizi, Ibnu Khuzaimah dan al-Hakim. Menurut al-Hakim; hadis soheh berdasarkan syarat al-Bukhari dan Muslim (1/282).

Maka disimpulkan bahawa maksud ‘solat pada waktunya’ bukan sahaja mengerjakan solat dalam waktu, tetapi berusaha melakukannya di awal waktu. Terdapat hadis dari Ibnu ‘Umar RA; Nabi SAW bersabda;

الْوَقْتُ الْأَوَّلُ مِنَ الصَّلَاةِ رِضْوَانُ اللَّهِ، ‌وَالْوَقْتُ ‌الْآخَرُ ‌عَفْوُ ‌اللَّهِ

“Waktu awal solat adalah keredhaan Allah, adapun waktu lain (selepas waktu awal itu) hanyalah keampunan Allah” (Sunan al-Tirmizi; . Menurut al-Munawi; isnadnya dhaif. Lihat; al-Taisir, 2/486).

Rujukan;

(1) ‘al-Uddah fi syarh al-’Umdah, Imam Ibnu al-’Attar al-Syafiie, 1/277-287.

(2) Taisir al-’Allam syarh ‘Umdatil Ahkam, Syeikh ‘Abdullah al-Bassam, 1/98-100.

(3) al-Manhal al-Azb al-Maurud syarh Sunan Abi Daud, Syeikh Mahmud al-Subki, 4/5.

Comments powered by CComment

Joomla! Debug Console

Session

Profile Information

Memory Usage

Database Queries