Laman Info Agama Anda

MENJAMAKKAN SOLAT DALAM SITUASI SUKAR

Keharusan menjamakkan solat (yakni zohor dan asar atau maghrib dan isyak) ketika situasi sukar yang menyulitkan solat-solat tersebut ditunaikan dalam waktunya telah difatwakan oleh ramai ulamak. Dalam kitabnya al-Majmu’ dan Syarah Soheh Muslim, Imam al-Nawawi menyenaraikan nama-nama ulamak yang mengharuskan jamak tersebut iaitu;

1. Imam Ibnu Sirin,

2. Imam Malik,

3. Imam Ahmad,

4. Imam al-Mutawalli (faqih mazhab Syafiie),

5. Qadhi Husain (faqih mazhab Syafiie),

6. Imam al-Ruyani (faqih mazhab Syafiie),

7. Imam al-Qaffal al-Syasi (faqih mazhab al-Syafiie) dan

8. Imam al-Khattabi. 

Namun pandangan yang muktamad dalam mazhab Syafiie tidak mengharuskan jamak kerana kesukaran/kesulitan. Faktor yang membolehkan jamak menurut mazhab Syafiie hanya dua iaitu; musafir dan hujan. Tidak ada jamak kerana kesukaran/kesulitan. Hanya dibolehkan jamak shuri sahaja (yakni jamak pada rupa luaran, bukan jamak dalam erti sebenar), iaitu dengan melewatkan solat pertama (iaitu zohor atau maghrib) ke hujung waktu dan terus melakukan solat kedua (iaitu asar atau isyak) sebaik masuk waktunya.

Dalam kegawatan yang memuncak -contohnya ketika ancaman virus Covid-19- pihak-pihak yang terlibat secara lansung dengan usaha menangani ancaman virus tersebut (iaitu kakitangan hospital, keselamatan dan sebagainya) di mana situasi mereka menyukarkan mereka untuk melakukan sebahagian solat dalam waktu asalnya, mereka dibenarkan untuk menjamak (menghimpun) dua solat dalam satu waktu –sama ada taqdim atau ta’khir- kerana faktor kesukaran/kesulitan, iaitu dengan bertaklid kepada mazhab dan fuqahak yang mengharuskannya.

Malah menurut Imam al-Nawawi; pandangan yang mengharuskan jamak kerana kesukaran/kesulitan merupakan pandangan yang kuat kerana disokong oleh hadis dari Ibnu ‘Abbas RA yang menceritakan; “Rasulullah SAW pernah menjamakkan solat di Madinah tanpa ada sebab ketakutan maupun sebab hujan, tetapi hanya semata-mata kerana tidak mahu menyulitkan umatnya” (Soheh Muslim; 705). Selain itu, menurut beliau lagi; jika jamak diharuskan kerana faktor hujan, maka faktor sakit dan ketakutan adalah lebih kuat (untuk menjadi sebab kepada keharusan tersebut).

Dengan adanya keharusan tersebut memberi keringanan kepada mereka untuk melaksanakan kewajipan kepada Allah di samping mencurah khidmat bakti kepada negara dan masyarakat. Itulah yang dikehendaki Allah sebagaimana kita fahami dari firmanNya;

فَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ مَا ٱسۡتَطَعۡتُمۡ

“Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu” (surah al-Taghabun, ayat 16).

Namun perlu diingatkan bahawa yang diharuskan ialah menjamakkan solat sahaja. Adapun mengqasarkannya tidak diharuskan melainkan kerana sebab musafir.

Panduan solat jamak dan qasar kerana kesukaran/kesulitan

Jamak taqdim

  1. Jamak takdim menghimpunkan solat kedua ke dalam waktu pertama, iaitu menghimpunkan solat asar ke dalam waktu zohor dan solat isyak ke dalam waktu maghrib.
  2. Syarat-syaratnya ialah;
  3. a)   Meniatkan jamak ketika solat pertama (yakni zohor atau maghrib) sekurang-kurangnya sebelum memberi salam. Sebaik-baiknya meniatkannya ketika takbiratul ihram.
  4. b)   Wajib menjaga tertib solat, iaitu melakukan solat pertama dahulu, baru solat kedua (yakni melakukan zohor dahulu, kemudian asar, melakukan maghrib dahulu, kemudian baru isyak).
  5. c)   Wajib muwalat (berturutan) antara solat pertama dan kedua, yakni jangan menyelangi antara solat pertama dan kedua dengan berhenti yang lama, termasuk melakukan solat sunat antara kedua-duanya.
  6. d)   Situasi sulit itu masih berterusan hingga masuk solat kedua sekalipun belum selesai darinya. Jika kesulitan telah tamat sebelum solat kedua dimulai, tidak harus lagi jamak (yakni wajib solat kedua dilakukan dalam waktunya).

Jamak ta’khir

  1. Jamak ta’khir; iaitu menghimpunkan solat pertama ke dalam waktu kedua, iaitu menghimpunkan solat maghrib ke dalam waktu isyak dan solat zohor ke dalam waktu asar.
  2. Syarat-syaratnya ialah;
  3. a)   Apabila tiba waktu solat pertama (yakni zohor atau maghrib) wajib menghadirkan niat ke dalam hati untuk menjamakkan (yakni menghimpunkan) solat pertama ke dalam waktu kedua. Niat tersebut mesti dihadirkan sebelum berakhir waktu solat pertama itu.
  4. b)   Berterusan situasi sulit hingga selesai solat kedua. Jika kesulitan tamat sebelum selesai solat kedua, maka solat yang ditangguh (iaitu zohor atau maghrib) dikira qadha (solat ganti).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

  1. Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, Imam al-Nawawi, Dar al-Hadith; Cairo (2010).
  2. Syarah Soheh Muslim, Imam al-Nawawi, Muassasah Qurtuba, Cairo (1994).
  3. Al-‘Uddah Syarh al-‘Umdah, Imam ‘Alauddin al-‘Attar, Dar al-Basyair al-Islamiyah; Beirut (2006).
  4. Kifayatul Akhyar, Imam Taqiyyuddin al-Husni, Dar al-Khair; Beirut (1991).
  5. Panduan Solat Qasar dan Jamak, Ahmad Adnan Fadzil, Iman Firdausi Enterprise; Perlis (2017).

Comments powered by CComment

Joomla! Debug Console

Session

Profile Information

Memory Usage

Database Queries