Laman Info Agama Anda

IBADAH-IBADAH HARTA

Harta mesti diperolehi melalui jalan yang halal. Di Akhirat nanti, apabila kita berdepan dengan hisab dari Allah, di antara antara perkara yang akan dihisab ialah harta kita; dari mana kita perolehi dan ke mana kita belanjakan? Sabda Nabi;

لَا تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ عُمُرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ عِلْمِهِ فِيمَ فَعَلَ وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ وَعَنْ جِسْمِهِ فِيمَ أَبْلَاهُ

“Tidak akan berganjak manusia dari Padang Mahsyar melainkan setelah disoal empat perkara tentang dirinya;

  1. Umur; bagaimana dihabiskannya?
  2. Ilmu; apa yang diamalkan?
  3. Harta; dari mana diperolehi dan ke mana dibelanjakan?
  4. Jasad/tubuh-badannya; bagaimana ia pergunakannya?”

(Hadis riwayat Imam at-Tirmizi dari Abi Barzah r.a.. Menurut at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh).

 Harta yang diperolehi hendaklah dibelanjakan mengikut cara perbelanjaan yang digariskan Syariat. Pertama, harta yang diperolehi itu hendaklah diutamakan kepada perbelanjaan keperluan asas bagi diri dan keluarga (iaitu menunaikan hak nafkah kepada isteri, anak-anak dan ibu-bapa yang susah). Kedua, jika ada lebihan yang mencukupi nisab setelah ditolak keperluan diri dan keluarga tersebut, ditunaikan pula hak Allah iaitu zakat harta. Ketiga, jika ada lebihan lagi, kita digalakkan untuk memperbanyakkan kebajikan kepada agama, umat dan manusia lain dengan harta kita, iaitu dengan menginfakkan harta di jalan Allah, bersedekah kepada fakir miskin, membantu orang-orang susah, anak-anak yatim, berwakaf, memberi hadiah dan sebagainya.

 INFAK FI SABILILLAH

 Infak fi Sabilillah bermaksud kita menafkahkan (yakni membelanjakan) wang atau harta kita kepada usaha-usaha untuk memajukan agama atau mempertahankannya. Ia termasuk sebahagian dari jihad iaitu jihad al-Mal (yani berjihad dengan harta). Firman Allah;

 وَأَنفِقُواْ فِي سَبِيلِ اللّهِ وَلاَ تُلْقُواْ بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ وَأَحْسِنُوَاْ إِنَّ اللّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

“Belanjakan (harta kamu) untuk jalan Allah dan janganlah kamu menjerumuskan diri ke dalam kebinasaan. Buatlah kebaikan, sesungguhnya Allah suka kepada orang yang berbuat baik” (Surah al-Baqarah, ayat 195).

 Firman Allah (menjelaskan pahala untuk orang yang menafkan harta ke jalan Allah);

 مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّئَةُ حَبَّةٍ وَاللّهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ وَاللّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ، الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ

فِي سَبِيلِ اللّهِ ثُمَّ لاَ يُتْبِعُونَ مَا أَنفَقُواُ مَنّاً وَلاَ أَذًى لَّهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلاَ خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلاَ هُمْ يَحْزَنُونَ

“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya kepada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengadungi seratus biji. Dan (ingatlah) , Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dihendakiNya, dan Allah Maha Luas (Rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya. Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita” (Surah al-Baqarah, ayat 261-262).

 Sabda Nabi;

 مَنْ أَنْفَقَ نَفَقَةً فِي سَبِيلِ اللَّهِ كُتِبَتْ لَهُ بِسَبْعِ مِائَةِ ضِعْفٍ

“Sesiapa membelanjakan suatu perbelanjaan di jalan Allah, akan ditulis untuknya 700 kali ganda” (Hadis riwayat Imam an-Nasai, at-Tirmizi, Ibnu Hibban dan al-Hakim dari Khuraim bin Fatik r.a.. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis hasan).

 Sabda Nabi;

 مَنْ جَهَّزَ غَازِيًا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَقَدْ غَزَا وَمَنْ خَلَفَ غَازِيًا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِخَيْرٍ فَقَدْ غَزَا

“Sesiapa mempersiapkan (bekalan/kelengkapan) untuk orang yang pergi berperang di jalan Allah sesungguhnya (sama seperti) ia sendiri pergi berperang. Sesiapa yang mengambil-alih orang yang pergi berperang untuk (mengurus) keluarganya dengan (melakukan) suatu kebajikan (untuk mereka), sesunggguhnya (sama seperti) ia sendiri pergi berperang” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Zaid bin Khalid al-Juhani r.a.).

MEMBANTU ORANG DALAM KESUSAHAN

 Sabda Nabi;

 مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ فِي الدُّنْيَا يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَمَنْ سَتَرَ عَلَى مُسْلِمٍ فِي الدُّنْيَا سَتَرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ

“Sesiapa melepaskan dari seorang muslim satu kepayahan dari kepayahan-kepayahan dunia, Allah akan melepaskan darinya satu kepayahan dari kepayahan-kepayahan Akhirat. Sesiapa memberi kemudahan kepada orang susah di dunia, Allah akan memberi kemudahan kepadanya di Dunia dan di Akhirat. Sesiapa menutup keaiban seorang muslim di Dunia, Allah akan menutup keaibannya di Dunia dan di Akhirat. Allah senantiasa membantu seorang hamba selama hamba itu membantu saudaranya” (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.).

 Termasuk juga dalam membantu orang yang sedang kesusahan ialah menganjakkan tempoh pembayaran hutangnya jika didapati ia belum mampu membayarnya atau melangsaikan terus hutangnya. Sabda Nabi;

 مَنْ أَنْظَرَ مُعْسِرًا أَوْ وَضَعَ لَهُ أَظَلَّهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ تَحْتَ ظِلِّ عَرْشِهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ

 “Sesiapa memberi tangguhan (membayar hutang) kepada seorang yang susah atau ia menggugurkan untuknya (sebahagian atau keseluruhan hutang itu), Allah akan menaunginya pada hari Kiamat dengan naungan ‘ArasyhNya iaitu hari yang tidak ada perlindungan melainkan perlindungan dari Allah” (Hadis riwayat Imam at-Tirmizi dari Abu Hurairah r.a.. Menurut at-Tirmizi; hadis hasan soheh).

 SEDEKAH SUNAT

 Sabda Nabi;

 مَنْ تَصَدَّقَ بِعَدْلِ تَمْرَةٍ مِنْ كَسْبٍ طَيِّبٍ وَلَا يَقْبَلُ اللَّهُ إِلَّا الطَّيِّبَ وَإِنَّ اللَّهَ يَتَقَبَّلُهَا بِيَمِينِهِ ثُمَّ يُرَبِّيهَا لِصَاحِبِهِ كَمَا يُرَبِّي أَحَدُكُمْ فَلُوَّهُ حَتَّى تَكُونَ مِثْلَ الْجَبَلِ

“Sesiapa memberi sedekah sebesar sebiji tamar dari hasil usaha yang baik (halal) –Allah tidak menerima melainkan yang baik-, Allah akan menerima sedekah itu dengan tangan kananNya, kemudian mengasuh/membesarkan sedekah itu untuk pemberinya sebagaimana seseorang dari kamu mengasuh/membesarkan anak kudanya sehingga sedekah itu akan menjadi seperti sebuah bukit” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dari Abu Hurairah r.a.).

 Sabda Nabi lagi;

 لِيَتَّقِ أَحَدُكُمْ وَجْهَهُ النَّارَ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ

“Jagalan setiap dari kamu wajahnya dari api Neraka (dengan bersedekah) walaupun dengan sekadar sebelah buah tamar” (Hadis riwayat Imam Ahmad dari Abdullah bin Mas’ud r.a.).

 Sabda Nabi;

 الصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ

“Sedekah akan memadamkan api neraka sebagaimana air memadamkan api” (Hadis riwayat Imam at-Tirmizi dari Mu’az bin Jabal r.a.. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis hasan soheh).

 Sabda Nabi;

 كُلُّ امْرِئٍ فِي ظِلِّ صَدَقَتِهِ حَتَّى يُقْضَى بَيْنَ النَّاسِ

“Seseorang itu akan berada dalam naungan sedekahnya (pada hari Kiamat) sehinggalah diputuskan di antara manusia” (Hadis riwayat Imam Ahmad, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan al-Hakim. Menurut Imam as-Suyuti; hadis ini soheh. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 6282).

 إِنَّ ظِلَّ الْمُؤْمِنِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ صَدَقَتُهُ

“Sesungguhnya naungan bagi seorang mukmin pada hari Kiamat ialah sedekahnya” (Hadis riwayat Imam Ahmad dari beberapa orang sahabat Nabi).

 Beramal dengan hadis ini, para ulamak Salaf tidak berlalu hari mereka melainkan mereka pasti akan bersedekah sekalipun dengan sebiji bawang atau sesuap makanan.[1]

 MEMBERI SEDEKAH KEPADA KAUM KERABAT

 Sabda Nabi;

 الصَّدَقَةُ عَلَى الْمِسْكِينِ صَدَقَةٌ وَهِيَ عَلَى ذِي الرَّحِمِ ثِنْتَانِ صَدَقَةٌ وَصِلَةٌ

“Sedekah kepada orang miskin (yang tidak ada hubungan persaudaraan) akan mendapat pahala sedekah. Adapun sedekah kepada orang yang ada tali persaudaraan akan mendapat dua pahala, iaitu; pahala sedekah dan juga pahala menghubungkan tali persaudaraan” (Hadis riwayat Imam at-Tirmizi. Menurut beliau; hadis ini hasan).

  MEMBERI HUTANG

 Sabda Nabi;

 كُلُّ قَرْضٍ صَدَقَةٌ

“Setiap pemberian hutang adalah sedekah” (Hadis riwayat Imam at-Thabrani dengan sanad yang hasan dari Ibnu Mas’ud r.a.. Diriwayatkan juga oleh Imam al-Baihaqi. Lihat; al-Muntaqa, hadis no. 465).

 Sabda Nabi;

 دَخَلَ رَجُلٌ الْجَنَّةَ فَرَأَى عَلَى بَابِهَا مَكْتُوبًا الصَّدَقَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا، وَالْقَرْضُ بِثَمَانِيَةَ عَشَرَ

“Seorang lelaki telah memasuki Syurga, lalu ia melihat tertulis di pintu Syurga; ‘Sedekah diganda 10 dan hutang diganda 18” (Hadis riwayat Imam al-Baihaqi dalam Syu’abil-Iman dari Abu Umamah r.a.. Menurut al-Albani; hadis ini soheh. Lihat; al-Silsilati ad-Dhaifah, no. 3407).

 Anas bin Malik r.a. menceritakan; Nabi telah bersabda;

 رَأَيْتُ لَيْلَةَ أُسْرِيَ بِي عَلَى بَابِ الْجَنَّةِ مَكْتُوبًا الصَّدَقَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا وَالْقَرْضُ بِثَمَانِيَةَ عَشَرَ فَقُلْتُ يَا جِبْرِيلُ مَا بَالُ الْقَرْضِ أَفْضَلُ مِنْ الصَّدَقَةِ قَالَ لِأَنَّ السَّائِلَ يَسْأَلُ وَعِنْدَهُ وَالْمُسْتَقْرِضُ لَا يَسْتَقْرِضُ إِلَّا مِنْ حَاجَةٍ

“Aku telah melihat pada malam aku diisra’kan tertulis pada pintu Syurga; ‘Sedekah diganda 10 dan hutang diganda 18’. Aku pun bertanya; Wahai Jibril, kenapa hutang lebih baik ganjarannya dari sedekah? Jibril menjawab; “Kerana orang yang meminta (sedekah) adakalanya ketika ia meminta, padanya sudah ada (wang/harta untuk keperluannya). Adapun orang ingin berhutang, ia tidak meminta untuk berhutang melainkan kerana ia amat memerlukan (ketika itu)” (Hadis riwayat Imam Ibnu Majah dari Anas r.a.. Menurut as-Suyuti; hadis ini hasan. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 4385).

 WAKAF

 Sabda Nabi;

 إذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إلاَّ مِنْ ثَلاَثَةِ: إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

“Apabila mati seorang manusia terputuslah pahala amalannya kecuali yang datang dari tiga perkara;

  1. Sedekah jariyah
  2. Ilmu yang diambil manfaat dengannya.
  3. Anak yang soleh yang mendoakannya”

(Hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.).

 Maksud sedekah jariyah dalam hadis di atas ialah wakaf atau yang mirip dengannya dari pemberian harta yang berkekalan manfaatnya.[2]

 MEMBANTU ANAK YATIM

 Sabda Nabi;

 أَنَا وَكَافِلُ الْيَتِيمِ كَهَاتَيْنِ فِي الْجَنَّةِ هَكَذَا، وَأَشَارَ بِالسَّبَّابَةِ وَالْوُسْطَى

“Aku dan penjaga anak yatim akan berada seperti dua jari ini di dalam Syurga, sambil baginda menunjukkan jari telunjuk dan jari tengahnya” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dari Sahl bin Sa’ad r.a.).

 MEMBANTU IBU TUNGGAL

 Sabda Nabi;

 السَّاعِي عَلَى الْأَرْمَلَةِ وَالْمِسْكِينِ كَالْمُجَاهِدِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَوْ الْقَائِمِ اللَّيْلَ الصَّائِمِ النَّهَارَ

“Orang yang sentiasa membantu ibu tunggal dan orang miskin sama seperti seorang mujahid di jalan Allah atau seorang yang sentiasa bangun malam dan berpuasa di siang hari” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.).

 MEMBERI HIBAH/HADIAH

 Sabda Nabi;

 تَهَادَوْا تَحَابُّوا

“Salinglah memberi hadiah, nescaya kamu akan saling mengasihi” (Hadis riwayat Riwayat Imam al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad dan Imam Abu Ya’la dengan isnad yang hasan. Lihat; Takhrij Hadis al-Ihya’, Imam al-‘Iraqi. Lihat hadis ini dalam; Bulughul-Maram).

 Sabda Nabi;

 إِذَا عَمِلْتَ مَرَقَةً فَأَكْثِرْ مَاءَهَا وَاغْتَرِفْ لِجِيرَانِكَ مِنْهَا

“Apabila kamu memasak makanan berkuah, perbanyakkanlah kuahnya, kemudian ceduklah sebahagian darinya untuk diberikan kepada jiran kamu” (Riwayat Imam Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah. Lafaz hadis I atas dadalah dari Ibnu Majah).

 Sabda Nabi;

 يَا نِسَاءَ الْمُسْلِمَاتِ ، لَا تَحْقِرَنَّ جَارَةٌ لِجَارَتِهَا ، وَلَوْ فِرْسِنَ شَاةٍ

 “Wahai wanita-wanita Islam, janganlah seorang tetangga meremehkan dari memberi hadiah kepada tetangganya walaupun sekadar tapak kaki kambing” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.).

MEMBERI KEPADA ORANG YANG MEMINTA

 Sabda Nabi –shallallahu ‘alaihi wasallam-;

 لِلسَّائِلِ حَقٌّ وَإِنْ جَاءَ عَلَى فَرَسٍ

“Bagi orang yang meminta ada haknya sekalipun ia datang dengan menunggang kuda” (Hadis riwayat Imam Abu Daud dari Husain bin ‘Ali r.a.).

 MEMBERI MAKAN KEPADA ORANG LAIN

 Memberi makan kepada orang lain merangkumi pemberian atas nama sedekah (iaitu memberi makan orang miskin), hadiah atau meraikan tetamu.[3]

 Abu Hurairah r.a. menceritakan; Seorang lelaki telah mengadu kepada Nabi tentang hatinya yang keras, lalu baginda berkata kepadanya;

 امْسَحْ رَأْسَ الْيَتِيمِ وَأَطْعِمْ الْمِسْكِينَ

“Usaplah kepala anak yatim dan berilah makan kepada orang miskin” (Hadis riwayat Imam Ahmad. Para perawinyanya adalah soheh).

 Abdullah bin ‘Amru r.a. menceritakan; Seorang lelaki bertanya Nabi; Ya Rasulullah, apakah amalan Islam yang paling baik? Baginda menjawab;

 تُطْعِمُ الطَّعَامَ وَتَقْرَأُ السَّلَامَ عَلَى مَنْ عَرَفْتَ وَمَنْ لَمْ تَعْرِفْ

“Kamu memberi makan (orang lain) dan kamu memberi salam kepada orang yang kamu kenali dan yang tidak kamu kenali” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).

 Sabda Nabi;

 اعْبُدُوا الرَّحْمَنَ وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ وَأَفْشُوا السَّلَامَ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ بِسَلَامٍ

“Sembahlah Tuhan yang maha rahman, berilah makan (kepada orang lain) dan sebarkanlah salam (kepada semua manusia tanpa mengira siapa), nescaya kamu akan memasuki Syurga dengan selamat sejahtera” (Hadis riwayat Imam at-Tirmizi dari Abdullah bin ‘Amru r.a.. Menurut at-Tirmizi; hadis hasan soheh).

Nota hujung;

[1] Faidhul-Qadier, hadis no. 6282.

[2] Tuhfah al-Ahwazi, hadis no. 1297.

[3] Tuhfah al-Ahwazi, hadis no. 1777.

Comments powered by CComment

Joomla! Debug Console

Session

Profile Information

Memory Usage

Database Queries