Laman Info Agama Anda

Keindahan lahiriyah dan keunggulan pekerti NABI MUHAMMAD SAW (dari cerita Saidina 'Ali RA)

Saidina 'Ali RA (sepupu Nabi Muhammad SAW, juga menantu baginda) ketika mensifatkan susuk tubuh, akhlak dan keperibadian Nabi Muhammad SAW beliau menceritakan;

“Rasulullah SAW tidak berperawakan terlalu tinggi dan tidak pula terlalu rendah. Baginda berperawakan sedang di antara kaumnya. Rambutnya tidak kerinting bergulung dan tidak pula lurus kaku, akan tetapi ikal berombak.

Badannya tidak gemuk, wajahnya tidak bulat, tetapi agak bundar. Kulitnya putih kemerah-merahan. Anak mata pada kedua matanya berwarna hitam pekat dan bulu matanya panjang/lentik. Tulang pangkal bahu dan tulang penemu antara dua bahunya adalah besar. Baginda tidaklah berbulu di keseluruhan badannya, cuma di bahagian-bahagian tertentu sahaja antaranya bulu halus yang memanjang dari dada sampai ke pusat.

Telapak tangan dan kakinya terasa tebal. Bila baginda berjalan, berjalan dengan langkah kuat dan tegap seakan-akan turun ke tempat yang curam. Bila baginda berpaling, seluruh badannya ikut berpaling. Di antara kedua bahunya terdapat khatam nubuwwah (tanda kenabian) dan baginda adalah penutup sekelian Nabi AS.

Baginda memiliki hati yang paling pemurah di antara semua manusia. Ucapannya merupakan perkataan yang paling benar di antara semua orang. Tabiatnya amat lembut dan baginda paling ramah dalam pergaulan.

Sesiapa melihatnya buat pertama kali, akan terpegun kepadanya. Dan sesiapa yang pernah bersamanya, kemudian mengenalinya, pasti akan mengasihinya. Orang yang menceritakan sifatnya, pasti akan berkata; ‘Belum pernah aku melihat sebelum dan sesudahnya orang yang seistimewa baginda SAW’” (al-Syamail al-Muhammadiyyah, Imam al-Tirmizi, bab 1; Ciri-Ciri Fizikal Rasulullah SAW, hadis no. 6).

KEINDAHAN LAHIRIYAH NABI MUHAMMAD SAW

Dari hadis di atas. kita dapat melihat keindahan lahiriyah Nabi Muhammad SAW iaitu;

(1) Ketinggian; baginda tidak terlalu tinggi dan tidak juga rendah, yakni berketinggian sederhana,

(2) Rambut; rambut baginda tidak kerinting dan tidak pula lurus kaku, tetapi ikal berombak,

(3) Saiz tubuh; baginda tidak gemuk, namun bertubuh sasa

(4) Wajah; wajah baginda tidak bulat, tetapi bundar.

(5) Kulit; kulit baginda putih kemerahan

(6) Mata; bulu mata baginda panjang dan lentik, anak matanya hitam pekat.

(7) Rangka badan; rangka badannya besar; ini dapat dilihat pada tulang pangkal bahu dan tulang penemu antara dua bahunya yang disebut dalam hadis di atas sebagai besar.

(8) Bulu di badan; baginda tidaklah berbulu di keseluruhan badannya, cuma di bahagian-bahagian tertentu sahaja antaranya bulu halus yang memanjang dari dada sampai ke pusat.

(9) Telapak tangan dan kakinya terasa tebal,

(10) Gaya berjalan; berjalannya tegap, dengan langkah yang kemas, seolah turun ke tempat curam

KEUNGGULAN PEKERTI NABI MUHAMMAD SAW

Dari hadis di atas kita juga dapat melihat keunggulan budi pekerti Nabi Muhammad SAW iaitu;

(1) Sentiasa memberi perhatian kepada orang lain; di mana baginda SAW apabila berpaling, dia berpaling dengan seluruh tubuhnya. Dalam hadis yang lain turut diceritakan; apabila melihat kepada seseorang baginda tidak memaling tengkuknya sahaja atau melihat dengan kerlingan mata, akan tetapi baginda menghadapkan seluruh badannya kepada orang yang berada di hadapannya bagi menunjukkan perhatiannya kepada orang tersebut.

(2) Pemurah; hadis di atas menyebutkan; "baginda SAW memiliki hati paling pemurah di banding semua manusia".

(3) Sentiasa bercakap benar; "ucapan baginda merupakan perkataan paling benar di antara semua manusia".

(4) Lemah lembut; hadis di atas menyebutkan "baginda adalah orang yang paling berlemah-lembut", maksudnya ketika bersama orang lain baginda sentiasa bersikap tawadhuk (rendah diri), bertolak ansur dan penyabar selagi orang yang bersamanya tidak mencabar agama Allah atau mencelanyam (al-Mawahib al-Ladunniyah, Imam al-Bajuri, 18).

(5) Mesra dan ramah dalam pergaulan; "baginda paling ramah dalam pergaulan".

(6) Sentiasa dikagumi; "sesiapa melihat baginda pasti akan terpegun kepadanya"

(7) Dikasihi semua orang; "sesiapa pernah mengenalinya pasti akan mengasihinya"

(8) Insan terunggul, penuh karisma; semua yang bercerita tentangnya pasti berkata "belum pernah aku melihat sebelum dan sesudahnya orang seistimewanya".

KESIMPULAN

Hadis di atas mendedahkan keindahan lahiriyah Nabi Muhammad SAW dan dan keunggulan peribadi serta pekertinya. Ia memberi keyakinan kepada kita untuk terus beriman kepada baginda dan mengangkat baginda sebagai ikutan terunggul sepanjang zaman.

Rujukan;

(1) Kenali Rasul Kita (syarah Syamail Muhammadiyah, Imam al-Tirmizi), Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, terbitan Telaga Biru (2014).

Comments powered by CComment

Joomla! Debug Console

Session

Profile Information

Memory Usage

Database Queries