Laman Info Agama Anda

JADILAH KUNCI KEBAIKAN (PESANAN NABI SAW)

Anas bin Malik RA menceritakan; Rasulullah SAW bersabda;

إِنَّ مِنَ النَّاسِ مَفَاتِيحَ لِلْخَيْرِ، مَغَالِيقَ لِلشَّرِّ، وَإِنَّ مِنَ النَّاسِ مَفَاتِيحَ لِلشَّرِّ مَغَالِيقَ لِلْخَيْرِ، فَطُوبَى لِمَنْ جَعَلَ اللَّهُ ‌مَفَاتِيحَ ‌الْخَيْرِ عَلَى يَدَيْهِ، وَوَيْلٌ لِمَنْ جَعَلَ اللَّهُ مَفَاتِيحَ الشَّرِّ عَلَى يَدَيْهِ

"Sesungguhnya di kalangan manusia ada yang menjadi pembuka kebaikan dan penutup kejahatan. Sebaliknya pula ada yang menjadi pembuka kejahatan dan penutup kebaikan. Maka beruntunglah orang yang Allah menjadikan di tangannya kunci kebaikan dan sebaliknya kebinasaanlah bagi orang yang Allah menjadikan di tangannya kunci kejahatan" (Sunan Ibnu Majah; 237, dari Sahl bin Sa'ad RA. Darjat hadis; soheh lighairihi).

Dalam hadis yang lain, baginda SAW bersabda;

 «إِنَّ هَذَا الْخَيْرَ خَزَائِنُ، وَلِتِلْكَ الْخَزَائِنِ مَفَاتِيحُ، فَطُوبَى لِعَبْدٍ جَعَلَهُ اللَّهُ مِفْتَاحًا لِلْخَيْرِ، مِغْلَاقًا لِلشَّرِّ، وَوَيْلٌ لِعَبْدٍ جَعَلَهُ اللَّهُ مِفْتَاحًا لَلشَّرِّ، مِغْلَاقًا لِلْخَيْرِ»

"Sesungguhnya kebaikan ibarat khazanah-khazanah dan bagi khazanah-khazanah ada kunci-kuncinya. Maka beruntunglah seorang hamba yang Allah menjadikannya sebagai kunci pembuka kebaikan dan pada masa yang sama kunci menutup kejahatan. Namun kecelakaanlah bagi seorang hamba yang dia dijadikan Allah sebagai kunci membuka kejahatan dan pada masa sama menjadi kunci penutup kebaikan" (Sunan Ibnu Majah; 238. Darjat hadis; soheh lighairihi).

Maksud menjadi kunci atau pembuka kebaikan ialah orang yang menghubungkan manusia kepada kebaikan, atau penyebab kepada kebaikan atau perantara kepadanya. Kebaikan merangkumi semua yang memberi manfaat kepada manusia sama ada dalam urusan agama atau duniawi, bersifat segera atau akan datang, seperti harta, ilmu, iman, pertolongan, kemahiran dan sebagainya. Kunci atau pembuka kejahatan pula ialah yang membawa manusia kepada kejahatan, atau penyebab kejahatan atau perantara antara manusia dan kejahatan. Kejahatan merangkumi semua yang memberi mudarat kepada manusia, seperti syirik, maksiat, bala, kerugian, kepayahan dan sebagainya.

Kebaikan dan kejahatan, hidayah dan kesesatan semuanya ketentuan Allah, namun setiap ketentuan itu ada sebab-sebab yang diciptakan Allah bersamanya. Antara asbab kebaikan dan hidayah ialah dakwah dan pendakwah. Asbab kejahatan dan kesesatan pula ialah dakyah dan pendakyah. Di tangan pendakwah yang terdiri dari para Nabi AS, Auliyak Allah dan para Solihin Allah meletakkan asbab kebaikan dan hidayah, sehingga manusia yang menyahut seruan mereka atau berteman dengan mereka semuanya akan sampai kepada keredhaan Allah dan sekaligus kepada kebaikan ukhrawi dan duniawi. 

Kejahatan dan kesesatan pula antara asbabnya ialah kewujudan para pendakyah yang menghasut manusia meninggalkan agama Allah, mengabaikan SyariatNya dan bergelumang dengan maksiat. Di tangan mereka Allah meletakkan asbab kejahatan dan kesesatan sehingga manusia-manusia yang termakan dakyah mereka akan menuju kemurkaan Allah dan akhirnnya terjerumus ke dalam kejahatan duniawi dan kesengsaraan ukhrawi (neraka). 

Orang yang menjadi asbab kepada kebaikan dan hidayah, mereka akan kembali (ke akhirat) dengan pahala berganda-ganda iaitu pahala diri mereka dan pahala orang lain yang mengikuti mereka. Adapun orang yang menjadi asbab kejahatan, mereka akan kembali dengan timbunan dosa; dosa diri dan dosa menyesatkan orang lain. 

Di sekeliling kita ada manusia-manusia yang hidup dengan kita, antara kita dan mereka saling terpengaruh dan mempengaruhi; isteri atau suami kita, anak-anak kita, ahli keluarga, kawan-kawan dan juga jiran tetangga kita. Lagi besar kedudukan kita, lagi banyaklah orang-orang yang mungkin terpengaruh dengan kita. Maka marilah kita membentuk diri menjadi orang soleh, agar mudah-mudahan kita menjadi kunci kebaikan, sekaligus meraih keberuntungan yang dijanjikan Allah melalui lisan UtusanNya tadi.

Rujukan;

(1) Fadhail al-A'mal, Imam Dhiya' al-Din al-Maqdidi, m.s. 120 (hadis no. 586 & 587).

(2) Syarh Sunan Ibnu Majah, Syeikh Muhammad al-Amin al-Harari, 2/316.

Comments powered by CComment

Joomla! Debug Console

Session

Profile Information

Memory Usage

Database Queries