Imam Ahmad bin Hanbal RHM (wafat 241H) menceritakan; Imam Syafiie (wafat 205H) pernah berkata kepadanya;

"Wahai Abu Abdillah (panggilan bagi Imam Ahmad), jika ada hadis bersama kamu semua (yakni ahli-ahli hadis), beritahulah kepada kami, supaya kami dapat merujuknya. Kamu lebih mengetahui hadis-hadis soheh dari kami. Jika ada sesiapa menyimpan hadis soheh, maklumkan kepadaku, nescaya aku akan pergi kepadanya sama ada dia orang Kufah, orang Basrah atau orang Syam" (Siyar A'lam al-Nubalak, 11/213).

Imam al-Buwaiti (wafat 231H) anak murid Imam al-Syafiie pernah menceritakan; aku pernah mendengar Imam al-Syafiie berkata;

"Jika aku memandang seorang lelaki dari kalangan ahli-ahli hadis, aku seolah memandang seseorang dari sahabat Rasulullah SAW. Semoga Allah membalas mereka dengan kebaikan, kerana mereka telah berjasa menjaga sumber (agama) untuk kita, mereka memiliki suatu kelebihan atas kita" (Siyar A'lam al-Nubalak, 10/69).

Al-Rabi' (wafat 324H, anak murid Imam al-Syafiie) menceritakan; aku pernah mendengar Imam al-Syafiie berkata kepada sebahagian ahli hadis;

أَنْتُم ‌الصَّيَادِلَةُ، وَنَحْنُ الأَطِبَّاءُ

"Kamu semua adalah ahli-ahli farmasi, sedang kami (yakni para fuqahak) adalah doktor-doktor" (Siyar A'lam al-Nubalak, 10/23).

Maksud Imam Syafiie ialah; hadis ibarat ubat, fekah ibarat cara rawatan. Kedua-dua ubat dan rawatan penting untuk menyembuhkan penyakit, maka orang yang menyediakan ubat (iaitu ahli farmasi) dan yang menjalankan rawatan (iaitu doktor) adalah sama penting. Begitu juga dalam agama, ahli hadis yang menjaga nas agama dan ahli fekah yang memastikan nas agama (hadis) difahami dengan tepat dan benar kedua-duanya sama penting. Dengan gandingan ahli hadis dan ahli fekah, masa depan agama dan umat terus selamat, terjaga dan terpelihara.

Imam Ahmad pernah menyebutkan yang sama;

 كان الفقهاء أطباء والمحدثون صيادلة فجاء محمد بن إدريس الشافعي ‌طبيبا ‌صيدلانيا

"Para fuqahak adalah ibarat doktor-doktor, sedang para ahli hadis pula ibarat ahli-ahli farmasi, lalu muncul Muhammad bin Idris al-Syafiie memegang kedua-dua sekali iaitu doktor merangkap ahli farmasi" (Tarikh Ibnu Asakir, 51/334).

Imam Ahmad pernah berkata;

"Sesungguhnya sejak 40 tahun setiap kali aku mengerjakan solat, aku tidak akan lupa berdoa untuk al-Syafiie; 'Ya Allah, ampunilah daku, dua ibu-bapaku dan juga Muhammad bin Idris al-Syafiie'. Tidak ada dari kalangan fuqahak orang yang paling mengikuti hadis Rasulullah SAW dari beliau" (Manaqib al-Imam al-Syafiie, Imam al-Baihaqi, 2/254).

 "al-Syafiie jika tsabit (terakui) suatu hadis dia akan mengikutinya. Sifat paling utama bagi Syafiie ialah dia tidak minat bercakap, sebaliknya segala perhatiannya ialah pada fekah (memahami nas)" (Siyar A'lam al-Nubalak, 10/26)