Laman Info Agama Anda

hadis

MUTIARA HADIS (7); 10 AYAT MEMBAWA KE SYURGA

Dalam Jami’ al-Tirmizi terdapat hadis dari Umar bin al-Khattab RA yang menceritakan; aku telah mendengar Nabi SAW bersabda;

«أُنْزِلَ عَلَيَّ عَشْرُ آيَاتٍ، ‌مَنْ ‌أَقَامَهُنَّ ‌دَخَلَ ‌الجَنَّةَ»، ثُمَّ قَرَأَ: {قَدْ أَفْلَحَ المُؤْمِنُونَ} [المؤمنون: 1] حَتَّى خَتَمَ عَشْرَ آيَاتٍ

“Telah diturunkan kepadaku 10 ayat, sesiapa melaksanakannya nescaya dia akan masuk syurga”. Kemudian baginda membaca ayat (pertama surah al-Mukminun); “قَدْ أَفْلَحَ المُؤْمِنُونَ” (Sesungguhnya berjayalah orang-orang beriman) hingga menyudahi 10 ayat (di awal surah tersebut)”.

(HR Riwayat Imam al-Tirmizi. Jami’ al-Tirmizi; 3173. Menurut Imam al-Baghawi; hadis hasan. Syarh al-Sunnah; 1376).

Hadis ini menyebutkan fadhilat (kelebihan) 10 ayat di awal surah al-Mukminun yang menyenaraikan ciri-ciri orang beriman;

  1. Sentiasa khusyuk dalam solat
  2. Menjauhi perkara lagha (sia-sia)
  3. Mengeluar zakat
  4. Menjaga kemaluan (dari zina)
  5. Menjaga amanah dan janji
  6. Menjaga solat

Orang yang ada pada dirinya ciri-ciri tersebut merupakan mukmin yang sebenar dan akan mewarisi syurga sebagaimana ditegaskan Allah di hujungnya;

أُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡوَٰرِثُونَ ٱلَّذِينَ يَرِثُونَ ٱلۡفِرۡدَوۡسَ هُمۡ فِيهَا خَٰلِدُونَ 

“Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi, (Iaitu) yang akan mewarisi surga Firdaus di mereka akan kekal di dalamnya” (surah al-Mukminun, ayat 10-11).

MUTIARA HADIS (6); MENYAPU ATAS JAURAB

Dalam Jami’ al-Tirmizi, Imam al-Tirmizi meriwayatkan hadis dengan sanadnya kepada al-Mughirah bin Syu’bah RA yang menceritakan; 

تَوَضَّأَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَمَسَحَ عَلَى الجَوْرَبَيْنِ وَالنَّعْلَيْنِ

“Nabi SAW mengambil wudhuk dengan menyapu ke atas sepasang jaurab dan sepasang sepatu(nya)”.

Menurut Imam al-Tirmizi; hadis ini hasan soheh. Beliau mengulas lanjut; hadis ini menjadi pandangan tidak hanya seorang ahli ilmu. Berpandangan dengannya Sufyan al-Tsauri, Ibnu al-Mubarak, al-Syafiie, Ahmad dan Ishaq di mana mereka menegaskan; dibolehkan menyapu ke atas sepasang jaurab sekalipun tanpa bersepatu dengan syarat jaurab tersebut tebal (Jami’ al-Tirmizi, 1/167, hadis no. 99).

Jaurab ialah pakaian yang dipakai membalut kaki, atau hari ini disebut dengan stokin.

Imam al-Baghawi dalam Syarah al-Sunnah turut menyebutkan pandangan fuqahak sebagaimana disebut Imam al-Tirmizi itu. Namun beliau menjelaskan; maksud jaurab yang tebal itu ialah tidak menampakkan kulit kaki. Menurut Imam al-Syafiie; harus menyapu atas sepasang jaurab jika dipakai bersama sepatu yang tahan dibawa berjalan secara berterusan (Syarh al-Sunnah, 1/458).

Secara ringkas, jumhur ulamak yang mengharuskan menyapu atas jaurab (stokin) mensyaratkan; ia tebal, menutupi hingga buku lali (yakni kawasan yang wajib dibasuh ketika mengambil wudhuk) dan dipakai ketika suci dari hadas.

Hadis ini menjadi rahmat kepada manusia yang tinggal di daerah sejuk atau sering bermusafir. Ia menunjukkan kasih sayang Allah untuk hamba-hambaNya yang beriman, memudahkan mereka melaksanakan SyariatNya, terkandung dalam prinsip am yang didasari firman Allah;

 وَمَا جَعَلَ عَلَيۡكُمۡ فِي ٱلدِّينِ مِنۡ حَرَجٖۚ

“Dia (yakni Allah) sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan” (Surah al-Hajj, ayat 78).

Joomla! Debug Console

Session

Profile Information

Memory Usage

Database Queries