Laman Info Agama Anda

hadis

MUTIARA HADIS (9): KEWAJIPAN MENGAMBIL WUDHUK DENGAN SEMPURNA

Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Amru bin al-Ash RA, Abu Hurairah RA dan 'Aisyah RA yang menceritakan; Nabi SAW bersabda;

وَيْلٌ لِلأَعْقَابِ مِنَ النَّارِ

"Kebinasaan dari neraka bagi tumit-tumit (yang tidak dibasahi air ketika mengambil wudhuk)" ('Umdatil Ahkam, Imam al-Maqdisi, hadis no. 3).

Hadis di atas menyentuh kewajipan mengambil wudhuk dengan sempurna. Sedia diketahui bahawa antara angota wudhuk ialah kaki. Dalam ayat wudhuk (iaitu ayat 6, surah al-Maidah) dinyatakan batasan kaki yang wajib dibasuh ketika mengambil wudhuk iaitu;

وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

"dan (basuh) kakimu hingga kedua mata kaki".

Berdasarkan batasan tersebut, tumit termasuk dalam kawasan yang wajib dibasuh (yakni disampaikan air) ketika mengambil wudhuk. Apabila tumit tidak dikenai air, basuhan kaki tidak sempurna, lantas wudhuk juga tidak sempurna, menyebabkan solat yang dilakukan dengan wudhuk tersebut juga tidak sempurna (terbatal) kerana wudhuk merupakan salah satu dari  syarat-syarat sahnya solat. 

Dari hadis tersebut, kita dapat menimba beberapa pengajaran;

1. Wajib mengambil wudhuk dengan sempurna merangkumi semua anggotanya. Walaupun hadis di atas hanya menyentuh kaki (tumit), namun dikiaskan kepadanya keseluruhan anggota wudhuk yang lain khususnya anggota rukun (iaitu muka, tangan hingga siku, kepala dan kaki). 

2. Menurut ulamak, ada 10 syarat yang wajib dipenuhi untuk sahnya wudhuk;

a) Islam

b) Mumayyiz

c) Suci dari haid dan nifas

d) Jangan ada yang melapisi kulit/permukaan anggota wudhuk hingga menghalang air dari mengenainya

e) Tidak ada pada anggota wudhuk bahan yang boleh mengubah sifat air

f) Mengetahui/menyedari akan kefardhuan wudhuk

g) Mengetahui rukun wudhuk dan tidak mengiktikadkan yang rukun itu sebagai sunat

h) Berwudhuk dengan air mutlak

i) Telah masuk waktu dan (j) muwalat (basuhan secara berterusan antara aggota-anggota wudhuk); syarat (i) dan (j) adalah khusus bagi orang yang mengalami hadas tidak putus (iaitu wanita istihadah, orang yang mengalami kencing tidak putus dan sebagainya).

(Matan Safinat al-Naja).

3. Orang yang mengambil wudhuk sambil lewa diancam dengan siksaan dalam neraka. Menurut ulamak, walaupun hadis menyebutkan 'tumit-tumit' namun yang dimaksudkan ialah pemilik-pemilik tumit, yakni orang yang tidak menyempurnakan basuhan tumitnya ketika mengambil wudhuk ia berkemungkinan disiksa dalam neraka akibat wudhuk yang tidak sempurna yang menjejas ibadah-ibadah yang mensyaratkan wudhuk terutamanya solat.

4. Kewajipan mempelajari ilmu tentang wudhuk, kerana hanya dengan adanya ilmu amalan dapat dilakukan dengan sempurna.

5. Secara umum dapat difahami dari hadis tersebut bahawa apa sahaja amal ibadah yang disuruh oleh Syarak (Allah) wajib dilakukan dengan sempurna -tanpa sambil lewa- terutama rukun-rukunnya.

Rujukan;

(1) Taysir al-Allam syarh 'Umdatil Ahkam (jilid 1), Syeikh Abdullah ibn Abd al-Rahman al-Bassam.

(2) Nail al-Raja syarh Safinat al-Naja, Syeikh Ahmad ibn Umar al-Syatiri.

* Kredit gambar; https://e3arabi.com/

MUTIARA HADIS (8); BERSEDEKAH KEPADA SANAK SAUDARA

Imam Ahmad dan Ibnu Majah meriwayatkan hadis dari Salman bin ‘Amir ad-Dhabbiy RA menceritakan; Nabi SAW bersabda;

اَلصَّدَقَةُ عَلَى الْمِسْكِينِ صَدَقَةٌ، وَعَلَى ذِي الرَّحِمِ اثْنَتَانِ: صِلَةٌ، وَصَدَقَةٌ

"Memberi sedekah kepada fakir miskin (akan mendapat pahala) sedekah sahaja. Adapun sedekah kepada (fakir miskin) yang mempunyai ikatan persaudaraan (atau kekeluargaan) akan (mendapat) dua pahala; pahala silaturrahim dan pahala sedekah" (Musnad Ahmad; 16227. Sunan Ibnu Majah; 1844. Darjat hadis menurut Syeikh al-Arnaut; Soheh lighairihi).

Dari hadis ini kita dapat mengambil beberapa pengajaran;

1. Kelebihan bersedekah kepada fakir miskin.

2. Paling baik (afdhal) ialah bersedekah kepada fakir miskin dari kalangan keluarga di mana kita berpeluang mendapat dua pahala iaitu pahala menghubungkan silaturrahim di samping pahala sedekah.

3. Satu amalan yang sama boleh menjadi berganda pahalanya jika lebih banyak kebajikan terhasil dari amalan tersebut.

4. Sekaligus dapat difahami dari hadis tersebut bahawa dalam beramal kita digalakkan beramal dengan amalan yang paling banyak mendatangkan pahala. Untuk mengetahuinya perlulah kita mempelajari kitab-kitab hadis tentang Fadhail al-A'mal (fadhilat-fadhilat amalan).

5. Di antara kitab-kitab Fadhail al-A'mal yang telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu ialah;

a) Fadhail al-A'mal; karya Maulana Muhammad Zakaria al-Kandahlawi

b) Fadhail al-A'mal; Imam Dhiya Uddin al-Maqdisi

c) Riyadhus Solihin; Imam al-Nawawi

Selain itu dalam kitab-kitab hadis utama seperti Soheh al-Bukhari, Soheh Muslim dan kitab-kitab Sunan  juga ada tajuk/bab berkenaan fadhilat-fadhilat amalan.

 

* kredit gambar; https://www.ceramah.org/.

Joomla! Debug Console

Session

Profile Information

Memory Usage

Database Queries