Laman Info Agama Anda

MUTIARA HADIS (4): ENAM JATI DIRI SEORANG MUSLIM

بسم الله والحمد لله والصلاة على رسول الله، أما بعد:

(6) Dari Abi Kabsyah al-Anmari RA menceritakan; aku telah mendengar Nabi SAW bersabda; 

 «ثَلَاثَةٌ أُقْسِمُ عَلَيْهِنَّ وَأُحَدِّثُكُمْ حَدِيثًا فَاحْفَظُوهُ» قَالَ: «مَا نَقَصَ مَالُ عَبْدٍ مِنْ صَدَقَةٍ، وَلَا ظُلِمَ عَبْدٌ مَظْلِمَةً فَصَبَرَ عَلَيْهَا إِلَّا زَادَهُ اللَّهُ عِزًّا، وَلَا فَتَحَ عَبْدٌ بَابَ مَسْأَلَةٍ إِلَّا فَتَحَ اللَّهُ عَلَيْهِ بَابَ فَقْرٍ أَوْ كَلِمَةً نَحْوَهَا»

«وَأُحَدِّثُكُمْ حَدِيثًا فَاحْفَظُوهُ» قَالَ: " إِنَّمَا الدُّنْيَا لِأَرْبَعَةِ نَفَرٍ، عَبْدٍ رَزَقَهُ اللَّهُ مَالًا وَعِلْمًا فَهُوَ يَتَّقِي فِيهِ رَبَّهُ، وَيَصِلُ فِيهِ رَحِمَهُ، وَيَعْلَمُ لِلَّهِ فِيهِ حَقًّا، فَهَذَا بِأَفْضَلِ المَنَازِلِ، وَعَبْدٍ رَزَقَهُ اللَّهُ عِلْمًا وَلَمْ يَرْزُقْهُ مَالًا فَهُوَ صَادِقُ النِّيَّةِ يَقُولُ: لَوْ أَنَّ لِي مَالًا لَعَمِلْتُ بِعَمَلِ فُلَانٍ فَهُوَ بِنِيَّتِهِ فَأَجْرُهُمَا سَوَاءٌ، وَعَبْدٍ رَزَقَهُ اللَّهُ مَالًا وَلَمْ يَرْزُقْهُ عِلْمًا، فَهُوَ يَخْبِطُ فِي مَالِهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ لَا يَتَّقِي فِيهِ رَبَّهُ، وَلَا يَصِلُ فِيهِ رَحِمَهُ، وَلَا يَعْلَمُ لِلَّهِ فِيهِ حَقًّا، فَهَذَا بِأَخْبَثِ المَنَازِلِ، وَعَبْدٍ لَمْ يَرْزُقْهُ اللَّهُ مَالًا وَلَا عِلْمًا فَهُوَ يَقُولُ: لَوْ أَنَّ لِي مَالًا لَعَمِلْتُ فِيهِ بِعَمَلِ فُلَانٍ فَهُوَ بِنِيَّتِهِ فَوِزْرُهُمَا سَوَاءٌ "

"Tiga perkara, aku bersumpah (bagi menegaskan hakikat) tentangnya dan aku juga ingin menyampaikan satu hadith kepada kamu, hendaklah kamu menjaganya;

(Adapun tiga perkata aku bersumpah bagi menegaskan hakikat tentangnya ialah);

(1) (Aku bersumpah bahawa) tidak akan kurang harta seorang hamba dengan sebab sedekah,

(2) (Aku bersumpah bahawa) tidak dianiayai seorang hamba dengan dirampas haknya secara zalim, lalu dia bersabar melainkan Allah akan menambahkan kemuliaannya, dan;

(3) (Aku bersumpah bahawa) tidak membuka seorang hamba akan pintu meminta-minta melainkan Allah akan membuka kepadanya pintu kefakiran".

Adapun satu hadis yang ingin aku sampaikan kepada kamu yang hendaklah kamu menjaganya ialah;

 "Sesungguhnya (keadaan manusia) di dunia tidak lari dari empat jenis hamba Allah;

(1) Seorang hamba yang diberi rezki oleh Allah dengan harta dan juga ilmu (yakni ilmu agama), lalu dia bertakwa kepada Allah dengan harta dan ilmunya itu, menghubungkan silaturrahim (dengan harta dan ilmu itu) dan menyedari akan hak Allah (pada harta dan ilmu itu), maka orang ini adalah sebaik-baik kedudukan (di sisi Allah),

(2) Seorang hamba yang diberi rezki oleh Allah dengan ilmu (agama), namun tidak diberikan harta. Walaupun tidak berharta, namun dia menyimpan niat (keazaman) yang baik (di dalam hatinya) di mana dia berkata (kepada Allah); 'Ya Allah, jika aku diberikan harta, nescara aku akan melakukan (kebaikan) sebagaimana kebaikan yang dilakukan si Fulan (dengan hartanya)'. Lantas dengan niat (keazaman) tersebut (dia turut diberi pahala seolah-olah turut membelanjakan harta ke jalan kebaikan), maka pahala kedua-dua mereka adalah sama.

(3) Seorang hamba yang diberi rezki oleh Allah dengan harta, namun tidak diberikan ilmu (agama), maka dia menghabiskan hartanya tanpa ilmu, tidak bertakwa Allah dalam membelanjakan hartanya, tidak menghubungkan silaturrahim dengan hartanya dan tidak menyedari hak Allah pada hartanya (seperti zakat, membantu fakir miskin, memberi makan tetamu dan sebagainya). Orang ini adalah seburuk-buruk kedudukan di sisi Allah.

(4) Seorang hamba yang tidak diberi rezki oleh Allah dengan harta dan tidak juga diberikan ilmu (agama). (Kerana tidak memiliki ilmu agama) maka dia (berazam dalam hatinya) dengan berkata; 'Jika aku diberikan harta, nescaya aku akan melakukan amal (kejahatan/maksiat) sebagaimana yang dilakukan si Fulan', maka dengan niat (keazaman) tersebut dia (turut dianggap sama seperti orang yang membelanjakan harta ke jalan maksiat), maka dosa kedua mereka menjadi sama".

(HR Imam Ahmad dan al-Tirmizi. Lafaz hadis adalah mengikut riwayat al-Tirmizi. Berkata al-Tirmizi; hadis ini hasan soheh. al-Muntaqa; 1/104, hadis no. 8. Jami' al-Tirmizi; 2325).

Pengajaran hadis;

Banyak pengajaran yang dapat kita timba dari hadis di atas, iaitu;

1. Sedekah tidak akan mengurangkan harta, sebaliknya menjadikan harta kita bertambah subur, kerana melalui sedekah harta kita di dunia akan dilimpahi barakah oleh Allah dan di akhirat pula dikurniakan pahala berlipat ganda oleh Allah.

2. Sifat sabar mengundang kemuliaan dari Allah. Orang yang diuji dengan suatu kesusahan -termasuk kehilangan harta kerana dirampas oleh orang zalim-, jika dia bersabar, dengan kesabaran itu Allah akan memberi kemuliaan kepadanya. Boleh berlaku juga apabila seseorang dirampas haknya secara zalim, dia akan jatuh miskin dan sebagainya yang mungkin menyebabkan dia menjadi hina di sisi manusia, namun jika dia bersabar dan terus berdoa dan bertawakkal kepada Allah, kemuliaan dirinya akan dipelihara oleh Allah.

3. Larangan meminta-minta, kerana perbuatan tersebut akan mengundang kemiskinan, bukan memberikan kekayaan. Semakin banyak meminta-minta, semakin banyaklah pintu kefakiran yang akan terbuka, akan semakin parahlah kemiskinan yang dideritai. Maka untuk membendung kefakiran, jangan mengambil jalan meminta-minta, tetapi berusahalah selagi mampu. Secara tersirat Nabi SAW -melalui hadis ini- ingin agar umatnya menjadi umat yang berdikari.

4. Kepentingan ilmu agama dalam memastikan urusan dunia (termasuk harta) dapat ditadbir atau diurus dengan baik. Kita mempelajari dari hadis di atas bahawa apabila seorang kaya itu turut dikurniakan ilmu agama oleh Allah, dia akan menggunakan kekayaannya itu untuk beramal soleh; bertakwa kepada Allah, menjalinkan silaturrahim dan menunaikan hak-hak yang sewajarnya ditunaikan dari hartanya (zakat, membantu fakir miskin dan sebagainya).

5. Kepentingan menyimpan keazaman yang baik dalam hati. Dengan keazaman yang baik kita berpeluang mendapat pahala dari semua amal kebaikan/kebajikan walaupun kita belum berpeluang melakukannya.

6. Kita juga dapat mempelajari dari hadis di atas bahawa niat/keazaman yang baik datang dari ilmu agama yang ada dalam diri seseorang, di mana dengan ilmu agama dia mengetahui apa niat/keazaman yang memberi manfaat kepadanya (yang perlu sentiasa disemat dalam hati) dan apa pula niat/keazaman yang mengundang mudarat kepada diri (yang perlu dibuang dari hati).

7. Sebagai kesimpulan, kita dapat mengesan dari hadis di atas 6 jati diri seorang muslim;

a) Tidak takut bersedekah

b) Sentiasa bersabar

c) Sentiasa ingin berdikari

d) Bijak menguruskan kekayaan

e) Mantap ilmu agamanya 

f) Memiliki keazaman yang benar

***والله أعلم بالصواب***

SIRI SEBELUM

Rujukan;

(1) Faidhul Qadier syarh al-Jami' al-Saghier, Imam Abdurrauf al-Munawi, 3/299.

(2) Tuhfah al-Ahwazi syarh al-Jami' al-Tirmizi, al-Allamah al-Mubarakfuri, 6/197.

Comments powered by CComment

Joomla! Debug Console

Session

Profile Information

Memory Usage

Database Queries