Laman Info Agama Anda

MUTIARA HADIS (3) APA YANG DINILAI ALLAH DARI KITA?

(5) Hadis dari Abu Hurairah RA; Nabi SAW bersabda;

 إِنَّ اللهَ لَا يَنْظُرُ إِلَى أَجْسَادِكُمْ، وَلَا إِلَى صُوَرِكُمْ، وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ

"Sesungguhnya Allah SWT tidak memandang kepada jasad-jasad kamu dan juga rupa-paras kamu, akan tetapi Dia memandang kepada hati-hati kamu" (HR Muslim. al-Muntaqa; 7).

Pengajaran hadis

Cukup jelas difahami dari hadis ini bahawa nilai amalan di sisi Allah terletak pada qasad hati (yakni tujuan hati) ketika amalan itu dilakukan. Allah tidak hanya memandang luaran kita, tetapi turut memandang dalaman/batin kita. Bahkan para ulamak -antaranya Syeikh Yusuf al-Qaradhawi- menegaskan; amalan-amalan hati merupakan asas dalam agama sama ada berupa suruhan atau tegahan. Ibadah paling utama ialah ibadat-ibadat hati dan maksiat paling berbahaya ialah maksiat-maksiat hati dan ia merupakan muhlikaat (maksiat-maksiat yang membinasakan) (al-Muntaqa, 1/104).

Contoh ibadah-ibadah hati ialah; iman, niat, ikhlas, khusyuk, tawadhuk, khauf (takut kepada Allah), raja (mengharap kepada Allah), mahabbah (kasih kepada Allah), qana'ah dan sebagainya lagi. Maksiat-maksiat hati pula ialah; riya, ujub, sum'ah, hasad, sombong/takbur, qunuth (putus asa dari rahmat Allah), tidak khuatir pembalasan Allah, lalai, tidak pernah berasa cukup (tamak) dan sebagainya lagi.

Hadis di atas tidak bermaksud menafikan kepentingan amalan, kerana dalam lafaz hadis yang lain turut disebutkan amalan;

إِنَّ اللهَ لَا يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ وَأَمْوَالِكُمْ، وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ

"Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa-paras kamu dan harta-benda kamu, akan tetapi Dia memerhati kepada hati-hati kamu dan juga amalan-amalan kamu" (Soheh Muslim; 2564).

Dalam al-Quran (surah al-Baqarah), ketika menceritakan tentang orang-orang Yahudi dan Nasrani yang mendakwa hanya orang Yahudi atau Nasrani sahaja yang bakal memasuki syurga, Allah menafikan dakwaan mereka itu, sebaliknya Allah menegaskan;

بَلَىٰۚ مَنۡ أَسۡلَمَ وَجۡهَهُۥ لِلَّهِ وَهُوَ مُحۡسِنٞ فَلَهُۥٓ أَجۡرُهُۥ عِندَ رَبِّهِۦ وَلَا خَوۡفٌ عَلَيۡهِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ 

"(Tidak demikian) bahkan sesiapa menundukkan dirinya kepada Allah dalam keadaan dia berbuat baik, maka baginya pahala di sisi Tuhannya dan tidak ada kembimbangan yang menimpa mereka dan tidak (pula) mereka akan berduka cita" (surah al-Baqarah, ayat 112).

Menurut tafsir Ibnu Kathir; maksud 'menundukkan diri kepada Allah' ialah mengikhlaskan diri kerana Allah ketika beramal, dan maksud 'berbuat baik' ialah beramal dengan mengikuti sunnah Nabi SAW, kerana suatu amalan hanya diterima Allah jika memenuhi dia syarat, iaitu;

1. Dilakukan dengan hati yang ikhlas kerana Allah

2. Dilakukan dengan betul menepati Syariat Allah (sama seperti yang ditunjuki Nabi SAW).

(Tafsir Ibnu Kathir, 1/385).

Kesimpulannya, ada dua aspek yang akan dinilai Allah dari kita; (1) hati yang tulus dan (2) amalan yang betul.

***والحمد لله والصلاة على رسول الله وآله وصحبه***

SIRI SEBELUM

Comments powered by CComment

Joomla! Debug Console

Session

Profile Information

Memory Usage

Database Queries