Laman Info Agama Anda

MUTIARA HADIS (1); BERAMAL DENGAN IKHLAS

باسم الله والصلاة على رسول الله، أما يعد:

(1) Abu Umamah RA menceritakan; seorang lelaki bertemu Nabi SAW dan bertanya soalan; wahai Rasul Allah, bagaimana jika seorang lelaki berperang kerana mencari pahala dan juga sebutan nama (yakni pujian manusia)? Lantas baginda menjawab; "Tiada sebarang pahala untuknya". Lelaki tadi mengulangi soalan tiga kali, namun baginda SAW masih menjawab; "Tiada sebarang pahala untuknya". Akhirnya baginda SAW menjelaskan;

 إِنَّ اللَّهَ ‌لَا ‌يَقْبَلُ ‌مِنَ ‌الْعَمَلِ إِلَّا مَا كَانَ لَهُ خَالِصًا، وَابْتُغِيَ بِهِ وَجْهُهُ

"Sesungguhnya Allah SWT tidak menerima amalan melainkan yang ikhlas untukNya dan dilakukan untuk mencari keredhaanNya" (HR al-Nasai dengan isnad yang jayyid/baik.  Lihat; al-Muntaqa, al-Qaradhawi; 2).

(2) Saidina 'Umar RA menceritakan; aku mendengar Nabi SAW bersabda;

 إِنَّمَا ‌الأَعْمَالُ ‌بِالنِّيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى

"Sesungguhnya segala amalan bergantung niat. Sesungguhnya (pahala) bagi setiap individu mengikut apa yang diniatkannya" (HR al-Bukhari, Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Nasai. al-Muntaqa; 3).

Pengajaran hadis;

Hadis di atas menekankan tentang niat dan keikhlasan ketika beramal. Niat dan ikhlas kedua-duanya berkait dengan hati, iaitu kehendak hati untuk beramal dan ketulusan hati ketika beramal. Menurut ulamak, ada dua syarat yang perlu kita penuhi supaya amalan kita diterima Allah;

1. Niat yang betul ketika beramal, iaitu semata-mata kerana Allah

2. Amalan yang dilakukan menepati yang disyariatkan, iaitu mengikut sunnah Nabi SAW

Kedua-dua syarat ini terkandung dalam firman Allah;

فَمَن كَانَ يَرۡجُواْ لِقَآءَ رَبِّهِۦ فَلۡيَعۡمَلۡ عَمَلٗا صَٰلِحٗا وَلَا يُشۡرِكۡ بِعِبَادَةِ رَبِّهِۦٓ أَحَدَۢا 

“Sesiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan seorangpun dalam beribadat kepada Tuhannya” (surah al-Kahfi, ayat 110).

 Amal yang soleh ialah amal yang menepati Syariat Allah dan mengikut sunnah Nabi SAW. Adapun tidak mempersekutukan Allah dalam ibadah ialah melakukan ibadah semata-mata kerana Allah, yakni ikhlas kepadaNya (lihat; Tafsir Ibnu Kathir, 5/205).

***والحمد لله***

Comments powered by CComment

Joomla! Debug Console

Session

Profile Information

Memory Usage

Database Queries