Laman Info Agama Anda

KISAH AHLI SYURGA TERAKHIR

Diriwayatkkan dari Ibnu Mas’ud RA; bahawa Nabi SAW bercerita; 

“Orang terakhir memasuki syurga ialah seorang lelaki. (Ketika melintasi titian (al-sirat) yang membentangi neraka) sekali ia berjalan sekali ia tersungkur, dan sesekali pula ia disambar api neraka. 

Sebaik ia berjaya melepasi al-sirat, dia menoleh kepada neraka sambil berkata; ‘Maha berkat Tuhan yang menyelamatkan daku darimu (wahai neraka). Sesungguhnya Dia memberiku nikmat* yang tidak Dia berikan kepada sesiapa pun dari kalangan orang awal dan orang kemudian”. (*nikmat; yakni nikmat diselamatkan dari neraka)

Kemudian dari jauh diperlihat kepadanya sebatang pohon. Lantas dia berkata; ‘Wahai Tuhanku, dekatkan daku dengan pohon itu, agar dapat berteduh di bawahnya dan minum (dari) mata air di situ’. Allah menjawab; ‘Wahai anak Adam, barangkali jika Aku tunaikan permintaanmu, kamu akan meminta yang lain lagi’. Dia menjawab; ‘Tidak wahai Tuhanku’. Dia berjanji kepada Allah tidak akan meminta yang lain lagi.

Melihat dia sudah tdak sabar lagi, Allah menerima janjinya, lalu Allah menghantarnya ke pohon itu. Dia pun berteduh di bawahnya dan minum dari mata airnya. Tiba-tiba dia terpandang pohon lain di hadapannya, lebih indah dari pohon tadi. Dia lantas berkata; ‘wahai Tuhanku, dekatkan daku dengan pohon itu, aku ingin berteduh di bawahnya dan minum airnya, aku berjanji tidak akan meminta yang lain lagi’.  Tuhan menjawab; ‘Wahai anak Adam, bukan kah tadi kamu berjanji tidak akan meminta yang lain. Barangkali kamu akan meminta yang lain pula?’. Dia pun berjanji semula tidak akan meminta yang lain lagi. 

Melihat dia tidak sabar-sabar lagi, Allah menerima janjinya dan menghantarnya ke pohon yang kedua itu. Ketika sedang berteduh di bawah pohon kedua itu dan minum air di situ, dia terlihat pohon lain lagi, betul-betul di hadapan pintu syurga, lebih   indah dari dua pohon sebelumnya. Dia lantas berkata; ‘Wahai Tuhanku, dekatkan daku kepadanya untuk aku berteduh di bawahnya dan minum air di situ. Aku berjanji tidak akan meminta apa-apa lagi kepadaMu’.

Allah menjawab; ‘Wahai anak Adam, bukankah telah dua kali kamu berjanji denganku. Barangkali kali ini pun jika aku tunaikan permintaanmu, akan ada lagi yang kamu akan minta’. Dia menjawab; ‘Tidak wahai Tuhan, aku berjanji tidak akan meminta yang lain lagi’. 

Melihatnya tidak sabar-sabar lagi, Allah lalu menghantarnya ke pohon itu. Bila ia berada di pohon itu (di hadapan pintu syurga), dia terdengar suara ahli-ahli syurga (bersembang). Dia lantas berkata; ‘Wahai Tuhan, masukkanlah daku ke dalam syurga’. Lantas Tuhan menjawab; ‘Wahai anak Adam, apa yang dapat memuaskan hatimu, agar kamu tidak meminta lagi kepadaku? Apakah kamu akan berpuas hati jika Aku berikan kepadamu kerajaan seumpama dunia dan sekali ganda lagi bersamanya?’. Dia menjawab; ‘Wahai Tuhan, apakah Engkau mempersendakan daku, sedang Engkau adalah Tuhan semesta alam? 

Ibnu Mas'ud RA tiba-tiba ketawa, sambil berkata; “Tidakkah kamu ingin tahu kenapa aku ketawa? Mereka (yang berada di hadapannya) pun bertanya; ‘ya, kenapa kamu ketawa?’. Dia menjawab; ‘Kerana Rasulullah SAW ketawa sebagaimana aku ketawa ini. Melihat baginda ketawa, para sahabat bertanya; kenapa engkau ketawa, wahai Rasul Allah? Baginda menjawab; kerana Tuhan semesta alam ketawa ketika lelaki tadi berkata; apakah Engkau mempersendakan daku wahai Tuhan (*dengan menawarkan kurniaan yang tidak ku sangka), sedang Engkau adalah Tuhan semesta alam’. Lantas Tuhan menjawab; “Aku tidak mempersendakan kamu. Aku sememangnya ingin memberinya kepada kamu. Aku maha berkuasa menunaikan segala yang Aku kehendaki’.

(Soheh Muslim; 187/310).

Comments powered by CComment

Joomla! Debug Console

Session

Profile Information

Memory Usage

Database Queries