Laman Info Agama Anda

MENEROKA CAHAYA (NUR)

Antara kalimah yang selalu diulang di dalam al-Quran ialah cahaya (nur, النور), iaitu disebut lebih dari 30 kali. Gandingan kepada cahaya (nur) ialah ialah kegelapan (disebut 23 kali). Menarik untuk diperhatikan, kegelapan seringkali diungkapkan di dalam al-Quran dengan kalimah jamak (plural) iaitu zulumat (الظلمات) yang memberi makna kegelapan-kegelapan (yakni kesesatan-kesesatan). Adapun cahaya (nur) hanya diungkap dengan kalimah mufrad/tunggal (النور). Tidak ada kalimah al-anwar (الأنوار) -iaitu kalimah jamak bagi al-nur- di dalam al-Quran. Menurut ulamak, itu menunjukkan bahawa sumber kegelapan (kesesatan) adalah banyak, namun sumber cahaya hanya satu iaitu dari Tuhan (Allah).

Kerana itu, antara tujuan Allah megutuskan Rasul dan menurunkan kitab-kitabNya ialah untuk membimbing manusia menuju cahaya, sekaligus membebaskan mereka dari kegelapan-kegelapan;

رَّسُولٗا يَتۡلُواْ عَلَيۡكُمۡ ءَايَٰتِ ٱللَّهِ مُبَيِّنَٰتٖ لِّيُخۡرِجَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ مِنَ ٱلظُّلُمَٰتِ إِلَى ٱلنُّورِۚ

"(Dan mengutus) seorang Rasul yang membacakan kepadamu ayat-ayat Allah yang menerangkan (bermacam-macam hukum) supaya Dia mengeluarkan orang-orang yang beriman dan beramal saleh dari kegelapan kepada cahaya” (surah al-Tolaq, ayat 11).

الٓرۚ كِتَٰبٌ أَنزَلۡنَٰهُ إِلَيۡكَ لِتُخۡرِجَ ٱلنَّاسَ مِنَ ٱلظُّلُمَٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ بِإِذۡنِ رَبِّهِمۡ إِلَىٰ صِرَٰطِ ٱلۡعَزِيزِ ٱلۡحَمِيدِ  ١

“Alif, laam raa. (Ini adalah) Kitab yang Kami turunkan kepadamu supaya kamu mengeluarkan manusia dari kegelapan-kegelapan kepada cahaya dengan izin Tuhan mereka, (iaitu) menuju jalan Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji” (surah Ibrahim, ayat 1).

Di akhirat nanti, orang beriman akan meniti titian al-sirat dengan cahaya. Cahaya ketika itu adalah penerusan dari cahaya yang mereka perolehi di dunia. Orang-orang munafik ketika sedang berada di atas titian itu lalu cahaya mereka padam (sesuai dengan sikap mereka di dunia yang asalnya mereka telah mendapat cahaya -dengan mengucap kalimah syahadah, namun mereka kemudiannya kembali kufur dengan bersikap munafik-, mereka ingin menumpang cahaya orang-orang beriman, namun dikatakan kepada mereka; 'kembalilah ke belakang (yakni ke dunia) dan carilah cahaya di sana" (lihat; tafsir al-Nasafi).

يَوۡمَ يَقُولُ ٱلۡمُنَٰفِقُونَ وَٱلۡمُنَٰفِقَٰتُ لِلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱنظُرُونَا نَقۡتَبِسۡ مِن نُّورِكُمۡ قِيلَ ٱرۡجِعُواْ وَرَآءَكُمۡ فَٱلۡتَمِسُواْ نُورٗاۖ

“Pada hari ketika orang-orang munafik laki-laki dan perempuan berkata kepada orang-orang yang beriman: "Tunggulah kami supaya kami dapat mengambil sebahagian dari cahayamu". Dikatakan (kepada mereka): "Kembalilah kamu ke belakang (yakni ke dunia) dan carilah sendiri cahaya (untukmu dari sana)" (surah al-Hadid, ayat 13).

Maka kehidupan kita di dunia ini adalah untuk mengejar cahaya. Cahaya yang menyuluh akal dan hati sanubari kita, menunjuki jalan kehidupan kita, yang bakal menerangi alam barzakh kita dan menyelamatkan kita di akhirat. Rahsia cahaya ini tersimpan dalam kitab suci Allah (al-Quran).

Langkah pertama ialah mengenal; apa itu cahaya? Langkah seterusnya, meneroka cahaya dengan meneroka al-Quran dari satu ayat ke satu ayatnya, kerana setiap ayatnya adalah cahaya yang tersendiri. Hanya dengan meneroka keseluruhan al-Quran cahaya kita akan sempurna. PENEROKAAN SEPANJANG HAYAT.

*kredit gambar; https://teratakemas.com/

Comments powered by CComment

Joomla! Debug Console

Session

Profile Information

Memory Usage

Database Queries