Laman Info Agama Anda

SYARAT-SYARAT KESEMPURNAAN DUA KALIMAH SYAHADAH

Soalan; apakah makna dua kalimah syahadah? apa syarat-syarat yang perlu dipenuhi ketika menuturkannya agar pengakuan/syahadah kita sah dan diterima Allah?

Jawapan; 

Makna kalimah "لا إله إلا الله" ialah penafian adanya Tuhan yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya selain Allah, yakni orang yang mengucapkan kalimah ini wajib menafikan sifat uluhiyah (sifat ketuhanan sebagai zat yang berhak disembah) dari sembahan-sembahan yang lain selain Allah dan mengisbatkan sifat itu hanya kepada Allah sahaja, iaitu menyakini dalam hati bahawa hanya Allah sahaja yang layak disembah, sebagaimana yang diikrarkan dalam surah al-Fatihah; 

 ﴿إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ (٥)﴾   

"Hanya Engkau sahaja (ya Allah) yang kami sembah dan hanya kepadaMu kami memohon pertolongan" (surah al-Fatihah, ayat ).

Adapun kalimah kalimah "محمد رسول الله" ialah mengisbatkan kerasulan Nabi Muhammad SAw, iaitu meyakini dalam hati bahawa baginda adalah benar-benar Rasul (utusan) yang diutuskan Allah kepada sekelian manusia dan jin pada zaman baginda hingga ke akhir zaman, serta meyakini agama dan Syariat yang disampaikan baginda.

Adapun syarat-syarat yang perlu dipenuhi oleh seorang yang menuturkannya agar syahadah/pengakuannya diterima Allah antaranya ialah;

1. Menuturnya dengan ilmu (tahu, kenal)

Sabda Nabi SAW;

«من مات وهو يعلم أن لا إله إلا الله دخل الجنة»

"Sesiapa mati dalam keadaan dia tahu (kenal) bahawa Tiada Tuhan melainkan Allah nescaya akan masuk syurga (HR Imam Muslim).

2. Menurutnya dengan yaqin (percaya penuh, tanpa keraguan sedikitpun)

Sabda Nabi SAW:

«أشهد أن لا إله إلا الله وأني رسول الله، لا يلقى الله بهما عبد غير شاك فيهما إلا دخل الجنة»

"Aku bersaksi bahawa "tiada Tuhan selain Allah dan daku adalah Rasul Allah". Tiada manusia yang bertemu Allah dengan (pernah mengucapkan) dua kalimah ini tanpa sebarang keraguan kepadanya melainkan akan masuk syurga" (HR Imam Muslim).

3. Menuturnya dengan inqiyad (tunduk dan patuh; bersedia mematuhi perintah Allah dan Rasul)

Firman Allah SWT:

{وَمَنْ يُسْلِمْ وَجْهَهُ إِلَى اللَّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَى} [لقمان: 22]

"Sesiapa yang menundukkan dirinya kepada Allah dalam keadaan dia berbuat baik, maka sesungguhnya dia berpegang dengan simpulan tali yang kukuh" (surah Luqman, ayat 22).

Menurut Ibnu 'Abbas RA; al-'urwat al-wuthqa (simpulan tali yang kukuh) dalam ayat di atas ialah kalimah syahadah (lihat; tafsir al-Tobari).

4. Menuturnya dengan qabul (akur dan menerima, tidak enggan dan tidak menyombong kepada Allah dan Rasul sebagaimana keengganan dan kesombongan Iblis dan orang-orang kafir)

Dalam surah al-Sofaat, Allah menceritakan tentang ahli neraka;

فَإِنَّهُمۡ يَوۡمَئِذٖ فِي ٱلۡعَذَابِ مُشۡتَرِكُونَ إِنَّا كَذَٰلِكَ نَفۡعَلُ بِٱلۡمُجۡرِمِينَ إِنَّهُمۡ كَانُوٓاْ إِذَا قِيلَ لَهُمۡ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا ٱللَّهُ يَسۡتَكۡبِرُونَ وَيَقُولُونَ أَئِنَّا لَتَارِكُوٓاْ ءَالِهَتِنَا لِشَاعِرٖ مَّجۡنُونِۢ 

  1. Maka sesungguhnya mereka pada hari itu bersama-sama dalam azab.
  2. Sesungguhnya demikianlah Kami berbuat terhadap orang-orang yang berbuat jahat.
  3. Sesungguhnya mereka dahulu apabila dikatakan kepada mereka: "Laa ilaaha illallah" (Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah) mereka menyombongkan diri,
  4. dan mereka berkata: "Apakah sesungguhnya kami harus meninggalkan sembahan-sembahan kami karena seorang penyair gila?"

5. Menuturnya dengan ikhlas (tulus, suci hati, bukan menunjuk-nunjuk)

Sabda Nabi SAW;

«إن الله تعالى حرم على النار من قال لا إله إلا الله يبتغي بذلك وجه الله»

"Sesungguhnya Allah akan mengharamkan ke atas neraka membakar seorang yang mengucapkan Lailaha Illallah kerana semata-mata mencari wajah Allah (keredhaanNya)" (HR al-Bukhari dan Muslim).

6. Menuturnya dengan sidq (benar, jujur, tidak berpura-pura sebagaimana orang munafik).

Sabda Nabi SAW;

«ما من أحد يشهد أن لا إله إلا الله وأن محمدا رسول الله صدقا من قلبه إلا حرمه الله على النار»

"Tidak ada seorang yang bersaksi bahawasanya tiada Tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad Rasul Allah dengan benar (jujur) dari hatinya melainkan Allah akan mengharamkan dirinya ke atas neraka" (HR al-Bukhari dan Muslim).

7. Menuturnya dengan mahabbah (kasih)

Nabi SAW bersabda;

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يَكُونَ ‌اللهُ ‌وَرَسُولُهُ ‌أَحَبَّ ‌إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا

"Tidak beriman seseorang dari kamu sehingga Allah dan RasulNya menjadi yang paling dikasihinya dari selain kedua-duanya" (HR Imam Ahmad. Musnad Ahmad; 13151).

8. Menuturnya dengan muwalah/wala' (kesetiaan, iatu setia kepada Allah, RasulNya serta orang-orang dikasihi Allah dan RasulNya iaitu orang-orang beriman, yakni tidak mengkhianati mereka dengan mengasihi musuh-musuh mereka).

Allah berfirman;

إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُمۡ رَٰكِعُونَ 

  1. Sesungguhnya wali kamu (yakni orang yang sepatutnya kamu berikan walak; kesetiaan) ialah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, serta mereka tunduk (kepada Allah). (surah al-Maidah).

لَّا تَجِدُ قَوۡمٗا يُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ يُوَآدُّونَ مَنۡ حَآدَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَوۡ كَانُوٓاْ ءَابَآءَهُمۡ أَوۡ أَبۡنَآءَهُمۡ أَوۡ إِخۡوَٰنَهُمۡ أَوۡ عَشِيرَتَهُمۡۚ أُوْلَٰٓئِكَ كَتَبَ فِي قُلُوبِهِمُ ٱلۡإِيمَٰنَ وَأَيَّدَهُم بِرُوحٖ مِّنۡهُۖ وَيُدۡخِلُهُمۡ جَنَّٰتٖ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَاۚ رَضِيَ ٱللَّهُ عَنۡهُمۡ وَرَضُواْ عَنۡهُۚ أُوْلَٰٓئِكَ حِزۡبُ ٱللَّهِۚ أَلَآ إِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ 

  1. Kamu tak akan mendapati kaum yang beriman pada Allah dan hari akhirat akan saling berkasih-sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang itu bapak-bapak, atau anak-anak atau saudara-saudara ataupun keluarga mereka. Mereka itulah orang-orang yang telah menanamkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang daripadaNya. Dan dimasukan-Nya mereka ke dalam surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Allah redha terhadap mereka, dan merekapun merasa puas terhadap (limpahan rahmat)Nya. Mereka itulah golongan Allah. Ketahuilah, bahwa sesungguhnya hizbullah itu adalah golongan yang beruntung. (surah al-Mujadilah).

Wallahu a'lam.

Rujukan;

(1) A'lam al-Sunnah al-Mansyurah, Syeikh Hafifz al-Hakami.

 

Comments powered by CComment

Joomla! Debug Console

Session

Profile Information

Memory Usage

Database Queries