Soalan; kerana sakit, saya tidak dapat berpuasa hampir keseluruhan Ramadhan baru ini. Hujung Ramadhan baru saya dapat berpuasa. Dalam bulan Syawal ini, saya teringin nak puasa 6, tapi ada orang kata tak boleh puasa melainkan kena selesai puasa-puasa ganti dulu. Tapi ustaz, kalau saya puasa ganti dulu, tak akan cukup hari untuk saya puasa 6. Apa penyelesaiannya untuk masalah saya? 

Jawapan;

Menurut ulamak; tidaklah menjadi tegahan untuk berpuasa 6 sebelum menyelesaikan puasa qadha (ganti) kerana puasa qadha Ramadhan masanya panjang iaitu sepanjang tahun sebelum tiba Ramadhan yang baru, sedang puasa 6 masanya terhad dalam bulan Syawal sahaja. Namun dari segi yang terbaik (afdhal) ialah kita menyelesaikan puasa qadha terlebih dahulu kerana ia merupakan kewajipan yang tertanggung atas diri kita selagi belum ditunaikan, sedangkan puasa sunat hanya tambahan (nafilah) sahaja. Maka bagi orang yang menghadapi masalah seperti tuan, ada tiga jalan keluar;

1. Berpuasa 6 terlebih dahulu, kemudian baru diikuti puasa qadha sama ada dalam bulan Syawal juga atau di luar syawal. Pendapat ini sekalipun kurang afdhal, namun diharuskan oleh ulamak terutama bagi orang yang berada dalam situasi seperti tuan.

2. Jika tuan ingin beramal dengan yang terbaik yang difatwakan oleh ulamak tadi (iaitu menyelesaikan dahulu puasa qadha, kemudian baru puasa 6), tuan boleh berpuasa qadha Ramadhan sepanjang Syawal. Adapun puasa 6, maka diqadha pada bulan berikutnya (yakni bulan Zul Qaedah) atau sebahagiannya dilakukan dalam bulan Syawal (jika masih berbaki) dan sebahagiannya di qadha dalam bulan berikutnya. Ini berdasarkan pandangan beberapa ulamak dalam mazhab Syafiie, antaranya Imam Ibnu Hajar al-Haithami yang menyebutkan; jika seorang itu luput/tertinggal (keseluruhan) puasa Ramadhannya, lalu dia mengqadhanya sepanjang Syawal, disunatkan dia berpuasa 6 dalam bulan Zul Qaedah kerana puasa ratib apabila luput (tertinggal), sunat diqadha (diganti) (Tuhfah al-Muhtaj, 3/457).

3. Atau memadai dengan berpuasa qadha sahaja dalam bulan Syawal itu dan turut terhasil bersamanya pahala puasa 6 hari dalam bulan Syawal (secara langsung), iaitu sebagaimana seorang yang masuk ke dalam masjid lalu mengerjakan solat fardhu, maka terhasil bersama solat fardhu itu sunnah tahiyyatul masjid secara langsung. Pandangan ini disebut dalam berapa kitab mazhab Syafiie; jika seorang itu dalam bulan Syawal dia berpuasa qadha atau nazar (selama 6 hari), akan turut terhasil untuknya pahala sunat puasa 6 hari dalam bulan syawal -sebagaimana difatwakan oleh Imam al-Ramli-, namun tidaklah sesempurna pahala orang yang berpuasa 6 secara khusus/berasingan (Hasyiyah al-Syarwani 'ala Tuhfah al-Muhtaj, 3/457. Mughni al-Muhtaj, 1/602).

4. Ada juga ulamak berkata; disertakan niat puasa 6 bersama niat  niat puasa qadha supaya terhasil kedua-duanya sekali dalam satu puasa. Syeikh 'Atiyah Saqar menyebutkan dalam fatwanya; diharuskan kepada sesiapa yang keletihan (tidak mampu berpuasa kedua-dua sekali secara berasingan; puasa qadha dan juga puasa sunat dalam bulan Syawal) untuk dia meniatkan (bersama) puasa qadha dan puasa syawal iaitu memasukkan yang sunat ke dalam yang fardhu. Ini merupakan kemudahan dan keringanan (dari Syarak) mengikut sebahagian mazhab (al-Fatawa Min Ahsan al-Kalam, 2/23).

Wallahu a'lam.

Untuk tambahan, baca di;

https://ilmudanulamak.blogspot.com/2007/10/menghimpunkan-niat-puasa-enam-dengan.html

http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/09/niat-sekali-qadha-dan-puasa-enam.html

Fatwa Syeikh 'Ali Jumaah; https://www.youtube.com/watch?v=9iwg4ErnWcE

Soalan; jika seseorang itu mempunyai puasa Ramadhan yang perlu diqadhanya, adakah harus ia berpuasa enam sebelum mengqadha puasanya?

Jawapan;

بسم الله، والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله

Harus kerana puasa qadha Ramadhan memiliki waktu yang panjang untuk dilakukan iaitu sehingga Ramadhan tahun berikutnya, adapun puasa enam hari di bulan Syawal waktunya adalah terhad.

Namun jika kita dapat melakukan puasa qadha terlebih dahulu, kemudian diikuti dengan puasa Syawal, itu yang terbaik kerana kita mendahulukan ibadah yang wajib ke atas yang sunat.

Dan ada ulamak (termasuk dalam mazhab Syafiie) berpendapat; diboleh kita meniatkan keduanya sekali dalam satu puasa (yakni meniatkan puasa qadha dengan disertakan dengannya puasa syawal), tetapi yang terbaik kita memisahkannya kerana akan memperbanyakkan amalan kita kepada Allah (rujuk; Mughni al-Muhtaj, 1/600).

Wallahu a'lam.

Go to top
JSN Pixel 2 is designed by JoomlaShine.com | powered by JSN Sun Framework