Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ala Rasulillah,

Kalimah rawatib (رواتب) berasal dari kalimah ratib () yang bermaksud yang tetap. Dari segi Syarak, sunat-sunat rawatib ialah sunat-sunat yang disyariatkan untuk dilakukan secara tetap. Menurut ulamak-ulamak mazhab Syafiie; sunat-sunat rawatib merangkumi sunat-sunat yang mengiringi ibadat fardhu atau yang terhenti pada ibadat lain dan sunat-sunat yang mempunyai waktu tertentu seperti solat hari raya, dhuha dan terawih.

Di sisi kebanyakan fuqahak, sunat-sunat rawatib dimaksudkan kepada solat-solat sunat yang mengiringi solat-solat fardhu sama ada qabliyahnya atau ba'diyahnya, yakni ia tidak dilakukan bersendirian tanpa kehadiran solat fardhu. Namun dalam mazhab Syafiie, sunat-sunat rawatib tidak hanya ada dalam solat, akan tetapi dalam puasa juga ada sunat-sunat rawatib antaranya puasa 6 hari dalam bulan Syawal.

Antara hukum berkaitan sunat-sunat rawatib ini ialah;

1. Digalakkan menjaganya, yakni melakukannya secara tetap dan berterusan.

2. Sebahagian ulamak berkata; makruh meninggalkannya dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran. Malah ada yang berkata; orang yang mengabaikan rawatib yang muakkad tidak diterima syahadah (kesaksiannya).

3. Menurut Imam al-Nawawi; di sisi mazhab kami (mazhab Syafiie); sunat menggantikan (mengqadha) sunat-sunat rawatib yang terluput. Namun menurut Imam Abu Hanifah, Malik dan Ahmad; tidak sunat menggantikannya.

4. Mengenai puasa 6, Imam Ibnu Hajar al-Haitami berkata; mam Ibnu Hajar al-Haithami menyebutkan; jika seorang itu luput/tertinggal (keseluruhan) puasa Ramadhannya, lalu dia mengqadhanya sepanjang Syawal, disunatkan dia berpuasa 6 dalam bulan Zul Qaedah kerana puasa ratib apabila luput (tertinggal), sunat diqadha (diganti) (Tuhfah al-Muhtaj).

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. al-Mausu'ah al-Fihqiyyah al-Kuwaitiyyah, 25/275-284

2. Hasyiyah Qalyubi 'ala Syarh al-Mahalli; 1/210.

3. al-Majmuk; 4/43

4. Syarah al-Yaqut al-Nafis, m.s. 194.

5. Tuhfah al-Muhtaj, 3/457