Soalan; ust agen dropship ada masalah tak dari segi syarak.  kita iklan barang harga rm100,  nyatakan ciri dan sifat barang, tapi barang tidak ada dengan kita. ada dengan pemilik. bila pembeli bank in pada kita rm100, kita transfer pada pemilik rm80. pemilik pos direct kepada pembeli. kita dapat komisen rm20. apa hukumnya?

Jawapan;

Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ala Rasulillah.

Bentuk perniagaan di atas mirip kepada akad Salam (tempahan) dalam Islam, maka ia tertakluk dengan syarat-syarat yang ditetapkan Nabi SAW dalam hadisnya; "Sesiapa melakukan akad tempahan dalam (jual-beli) sesuatu hendaklah dia melakukan tempahan dalam sukatan yang ditentukan atau timbangan yang ditentukan dan dengan tempoh yang ditentukan" (HR al-Bukhari dan Muslim, dari Ibnu 'Abbas RA).

Dalam muamalat tersebut, antara perkara yang saya andaikan;

1. Akad antara penjual dan pembeli; akad salam (tempahan)

2. Akad antara penjual dan pembekal pula; akad jual-beli dan akad tawkil (iaitu penjual mendapatkan produk yang ditempah oleh pembeli tadi dengan membelinya dari pembekal dan mewakilkan kepada pembekal untuk menghantarnya kepada pembeli. Pembelian dari pembekal boleh secara tunai dan boleh secara bayaran bertangguh).

3. Antara syarat yang ditetapkan fuqahak ke atas akad salam ialah;

a) Bayaran harga mesti tunai ketika akad. Hanya produk/barangan sahaja yang dibenarkan bertangguh.

b) Ciri-ciri produk mesti diberikan dengan jelas

c) Tarikh penyerahan/penerimaan barang mesti ditetapkan

Oleh demikian, sebelum menerima bayaran dari pembeli, penjual perlu pastikan stok produk masih ada dan dapatkan makluman dari pembekal berkenaan tarikh penghantaran dan penerimaannya (untuk dimaklumkan dengan tepat kepada pembeli).

4. Dhaman (jaminan/tanggungan) ke atas barang itu bagi pembeli mesti atas pembeli, bukan atas pembekal, kerana pembekal tiada sebarang akad dengan pembeli. Nabi SAW bersabda; "الخراج بالضمان" (hasil/keuntungan berhak dengan kerana tanggungan/tanggungjawab) (Sunan al-Tirmizi; 1285, hasan soheh). 

Syarat-syarat selebihnya boleh dibaca dalam ulasan sebelum ini tentang; Perniagaan Online (http://ilmudanulamak.com/index.php/topik/ekonomi-kewangan/208-panduan-bisnes-online).

Lontaran di atas hanya pandangan saya sahaja. Pembaca perlu juga merujuk pandangan-pandangan yang lain.

Wallahu a'lam.

 

Rujukan;

1. Antara fatwa yang boleh dirujuk; 

https://ar.islamway.net/fatwa/76913/%D9%87%D9%84-%D9%87%D8%B0%D9%87-%D8%A7%D9%84%D9%85%D8%B9%D8%A7%D9%85%D9%84%D8%A9-%D8%A3%D8%B4%D8%A8%D9%87-%D8%A8%D8%A7%D9%84%D8%B3%D9%84%D9%85-%D8%A3%D9%85-%D8%A8%D9%8A%D8%B9-%D9%85%D8%A7-%D9%84%D8%A7-%D8%A3%D9%85%D9%84%D9%83