Soalan; Assalamualaikum wbt. Ustaz, apakah hukum membeli followers dengan tujuan ‘social proofing’? Bukanlah tujuannya untuk menipu bahawa pelanggan brand tersebut adalah ramai sedangkan tidak. Tapi hanyalah semata-mata sebagai method untuk mendapatkan social proof. Pada definisi social proof bermaksud manusia cenderung meniru perbuatan manusia lain. Dalam konteks bisnes di sosial media, bila potential followers tengok followers pada page tersebut ramai, dia akan cenderung untuk follow bersama. Tapi dari segi jumlah pelanggan, kami tetapkan jumlah yg sebenar. Contohnya kami beli 10,000 followers dan kami letakkan jumlah sebenar pelanggan yang telah guna produk tersebut, misalnya 100 org. Adakah perbuatan ini dibenarkan? Mohon pencerahan ustaz.

Jawapan;

Waalaikum salam. Bismillah, Walhamdulillah, Wassolatu ala Rasulillah.

Yang saya nampak; pada yang tersirat, tujuan membeli folowwers tu bukan semata-mata untuk sosial proofing, tapi mempunyai matlamat hujung iaitu mempengaruhi pembeli kepada produk yang dijual. Ia mirip kepada konsep al-najsy (النجش) yang dilarang Nabi SAW dalam hadisnya;

وَلاَ تَنَاجَشُوا

"Janganlah kamu melakukan al-najsy" (al-Bukhari; 2140).

Al-Najsy ialah seseorang berpakat dengan penjual di mana dia akan tampil bersama pelanggan-pelanggan dalam jualan lelongan dengan menawarkan kesanggupan untuk membeli dengan harga yang tinggi, bukan dengan niat membeli barang, tetapi untuk mempengaruhi orang lain untuk turut meletakkan harga yang tinggi bagi barang tersebut, atau untuk menzahirkan seolah barang itu bernilai. Ia termasuk dalam jenis jual-beli yang dilarang menurut fuqahak.

Mungkin membeli followers tu tak sepenuhnya sama dengan konsep al-najsy itu, tapi dilihat terdapat unsur untuk mempengaruhi pengguna dengan aspek-aspek luaran dari barang/produk (bukan dengan kualiti sebenarnya). 

Selain itu terdapat hadis Nabi SAW; "Seorang yang menampil dirinya kenyang (dengan pemberian dari seseorang) sedangkan dia tidak diberikan apa-apa pun (yakni penampilan itu semata-mata untuk mengapi-apikan pihak lain), maka dia seperti seorang yang memakai dua pakaian palsu" (HR al-Bukhari; 5219). Dalam kes di atas seseorang itu menampilkan kepada orang lain dia seolah pengikut (folowwer), walhal dia bukan folowwer sebenar pun, cuma kerana dibayar, yakni hanya follower lakonan.

Itu yang saya nampak. Perlu juga dirujuk kepada pandangan-pandangan yang lain. Wallhu a'lam.

Bacaan lanjut;

1. Fiqh Mu'amalat Harta (AHMAD ADNAN FADZIL), m.s. 32.

2. Pandangan Syeikh Muhammad al-Munajjid; https://www.saaid.net/twitter/347.htm