Beliau dikenali oleh para sarjana Barat sebagai tokoh sosiologi (ilmu kemasyarakatan). Namun di dunia Islam, beliau kurang dikenali oleh umat Islam sebagaimana mereka mengenali imam-imam yang lain seperti Imam-Imam mazhab empat, Imam al-Bukhari, Muslim dan sebagainya, kerana umat Islam lebih membuka  mata kepada ilmu-ilmu agama berbanding ilmu-ilmu keduniaan.

Sedangkan pada zaman kegemilangan tamadun Islam dahulu, ilmu-ilmu keduniaan yang memberi manfaat kepada agama dan umat (seperti thib/kedoktoran, falak/astronomi, siasah/politik, ijtima'ie/sosiologi dan sebagainya) diiktiraf sebagai cabang dari ilmu-ilmu agama (iaitu tergolong dalam ilmu fardhu kifayah).

Hari ini -kerana kealpaan umat Islam- ilmu-ilmu keduniaan telah terlepas dari penguasaan mereka. Mereka hanya menguasai ilmu wahyu dan keagamaan. Adapun ilmu-ilmu keduniaan dikuasai oleh Barat, Jepun, Korea dan China dan umat Islam hanya menumpang hasil kajian, penemuan dan teknologi mereka termasuk dalam memberi contoh i'jazil ilmi (mukjizat saintifik) dalam Quran dan alat-alat penyebaran dakwah Islam.

 

1. Nama penuh; Abdurrahman bin Muhammad bin Khaldun 

2. Kelahiran; lahir pada tahun 732 Hijrah, bersamaan 1333 Masihi di Kota Tunisia (Maghribi).

4. Mazhab Aqidah; Asya'irah.

5. Mazhab Feqah; Maliki

6. Tempat tinggal; dua fasa;

    a) Fasa pertama; tinggal di Tunisia dari mula kelahirannya hingga usianya 52 tahun (iaitu hingga tahun 784H/1382M) 

    b) Fasa kedua; berpindah ke Mesir dan tingga di sana hingga tarikh kewafatannya (tahun 808H/1406M), iaitu selama kira-          kira 24 tahun.

 

7. Kepakaran ilmu dan penguasaan bidang;

- Beliau merupakan seorang sarjana, ahli falsafah, sosiologi, pengembara, sejarawan, politikus, sasterawan, pemikir, administrator, di samping faqih mazhab Maliki dan ahli hadis.

 

8. Pengajian dan pendidikan; 

- Tunisia (Maghribi) pada zaman Ibnu Khaldun merupakan pusat kegiatan ilmu yang penting di Utara Afrika.  

- Selama 18 tahun beliau menuntut ilmu secara formal. Pengajian beliau bermula dengan al-Quran, bahasa Arab dan sasteranya. Diikuti dengan tafsir, hadis, feqah, sirah dan ilmu-ilmu agama lainnya. Setelah melengkapi diri dengan ilmu agama dan bahasa Arab pada usia 16 tahun, beliau mempelajari pula ilmu logik dan fasafah. Antara guru beliau ialah;

  a) Bapanya Muhammad yang menjadi guru pertamanya

  b) Muhammad bin Sa'd bin Burral; hafalan al-Quran

  c) Muhammad bin Sahr; sastera persajakan

  d) Syamsuddin Muhammad al-Jabir; hadis dan feqah

  e) 'Abd al-Salam al-Hawwari; hadis dan feqah

  f) Abdul Muhaimin; Sunnan Sittah, Muwatta' Malik, Tarikh Ibnu Ishaq dan lain-lain

  g) Dari usia 20 tahun, beliu mula bergiat dalam politik dan pentadbiran negara di Tunisia dan Andalusia hinggalah usianya            mencecah 50 tahun (iaitu sebelum berpindah ke Mesir). Pengalaman tersebut menjadi sumber penguasaan ilmunya dalam  bidang politik, pentadbiran dan kemasyarakatan (sosiologi).

 

9. Kerjaya di Tunisia;

- Ketika di Tunisia, beliau bergiat aktif dalam politik di mana jawatan yang pernah dijawatnya ialah;

  a) Sahib al-'Allamah kepada Sultan Abu Ishaq (1350M)

  b) Setiausaha kepada Sultan Abu 'Inan di Fez, Maghribi (1355M)

  c) Setiausaha Sulit kepada Sultan Abu Salim di Fez (1358M)

  d) Mengetuai delegasi Sultan Muhammad V Granada, untuk memeterai perjanjian damai dengan Pedro iaitu Pemerintah Kristian di Seville, Sepanyol (1362M).

  e) Perdana Menteri Sultan Abu Abdillah di Bougie (Algeria) (1365-1356M).

  f) Antara tahun 1366 dan 1372; kerjaya politik beliau agak tidak menentu.

  g) Ketika usianya di ambang 40an, beliau mula memberi tumpuan kepada bidang ilmiah dan penulisan.

  h) Dari tahun 1374 hingga 1382 beliau berhenti sepenuhnya dari semua jawatan politik dan pentadbiran dan beruzlah di Qal'at Ibnu Salamah dan kemudiannya di Tunisia. Ketika itu beliau mula menulis buku sejarahnya yang terkenal Kitab al-'Ibar. 

  i) Pada tahun 1377 M beliau menyiapkan karyanya paling unggul dan terkenal iaitu Muqaddimah yang diselesaikannya dalam tempoh lima bulan sahaja.

 

10. Kerjaya di Mesir

- Apabila berpindah ke Mesir (dari tahun 1382) kedatangannya diterima dengan baik oleh penduduk Mesir kerana mereka mengenali beliau melalui reputasi kerjaya dan karya-karya beliau terutamanya Muqaddimah. Turut mengiktiraf beliau ialah pemerintah Mesir ketika itu iaitu Sultan al-Zahir Barquq (1382 - 1399). Kegiatan beliau di Mesir ialah;

a)  Penasihat Hal Ehwal Maghribi bagi Sultan

b) Pensyarah dan profesor dalam bidang kepakarannya (iaitu falsafah, sosiologi, feqah dan hadis di beberapa insitusi pengajian di Mesir antaranya al-Azhar, Kolej Qamhiyya dan Kolej Barquqiyyah. Kegiatan ilmu dan pengajaran beliau diakui oleh tokoh pemikir dan sejarawan seperti al-Maqrizi (1442M) dan Ibnu Hajar al-'Asqalani (1449M).

c) Ketua Qadhi Mazhab Maliki (sebanyak enam kali, iaitu antara tahun 1384-1406). Pada zaman Dinasti Mamluk terdapat empat ketua Qadhi iaitu dari semua mazhab yang empat, namun mazhab resmi negara ialah Syafiie.

d) Tahun 1387; menjadi wakil Sultan Faraj ke Damascus

e) Tahun 1400-1401; menetap di Damascus, berjumpa dan berdialog dengan pemerintah Moghul, Timurlane.

 

11. Pengembaraan beliau

- Dalam karyanya Rehlah (Pengembaraan), beliau menceritakan pengembaraannya ke Andalusia, pulang semula ke Maghribi (Tunisia), kemudian menetap bersama keluarga Bani 'Arif (ketika ini beliau mengarang kitab Muqaddimah), kemudian mengembara ke Timur, memegang jawatan Qadhi di Mesir, perjalanan mengerjakan ibadah haji, menyertai rombongan Sultan ke Syam, pertemuan dengan Timurlane pemerintah Tatar (Moghul) dan tempat-tempat lain lagi.

 

11. Karya-karya

a) Kitab al-'Ibar; 7 jilid

b) Muqaddimah Ibnu Khaldun; merupakan kitabnya paling masyhur. Kitab ini sebenarnya pendahuluan kepada kitab al-'Ibar tadi, namun dalam penerbitan diterbitkan secara berasingan.

c) Rihlah Ibnu Khaldun

d) al-Khabar 'an Daulat al-Tatar

e) Bughyah al-Ruwwad fi Zikr al-Muluk min Bani al-Wad

f) Muzil al-Mulam 'am Hukkam al-Anam (tulisan beliau untuk para Qadhi)

g) Lubab al-Mahshal; kitab pertama dihasilkannya

h) Syifa al-Sa-il fi Tahqiq al-Masail; tentang tasawwuf

 

12. Kewafatan; beliau wafat di Mesir pada tahun 808H/1406 dalam usia 76 tahun dan dikebumikan di Babun Nasir, makam para ahli Sufi.

 

Rujukan;

1. Kompilasi Filsafat Islam, Thawil Akhyar Dasoeki

2. Falsafah Ibnu Khaldun, Ahmad Sunawari Long

3. 50 Ilmuan Tersohor, Shafie Abdul Rahman

4. Tokoh-Tokoh Kesarjanaan Sains Islam, Mahmood Zuhdi Ab. Majid

3. Rujukan web; https://mawdoo3.com (ابن خلدون)