Soalan; ketika saya menziarahi kubur ayah dan ibu saya, bolehkan saya membaca al-Quran untuk mereka. Adakah bacaan saya itu sampai kepada mereka. Ada orang kata perbuatan itu bid'ah?

Jawapan;

Bismillah, al-hamdulillah, wassolatu ala Rasulillah SAW,

Keharusan membaca al-Quran di kubur telah difatwakan keharusannya (dan manfaatnya untuk si matu) oleh ramai ulamak muktabar, antaranya Imam Syafiie, Imam Ahmad, Imam al-Nawawi dan Imam Ibnu Qudamah al-Maqdisi. Amalan itu turut dinaqalkan dari sahabat Nabi Abdullah bin 'Umar RA dan Salafussoleh.

'Ali bin Musa al-Haddad menceritakan; aku pernah bersama Imam Ahmad bin Hanbal dan Muhammad bin Qudamah al-Jauhari menguruskan satu jenazah. Selesai jenazah itu dikebumikan, seorang lelaki buta membaca al-Quran di sebelah kuburnya. Imam Ahmad melarangnya dengan berkata; 'Membaca al-Quran di kubur adalah bid'ah'. Ketika kami berjalan keluar, Muhammad bin Qudamah bertanya Imam Ahmad; 'Kenalkah kamu dengan Mubasysyar al-Halabi?'. Imam Ahmad menjawab; 'Ya, aku kenal. Dia seorang yang tsiqah (dipercayai riwayatnya). Aku mencatat hadis darinya". Lantas Muhammad bin Qudamah berkata; 'Jika begitu, beliau (yakni Mubasysyar) pernah meriwayatkan dari Abdurrahman bin al-'Ala yang menceritakan; 'Bapanya (al-'Ala bin al-Hallaj) telah mewasiatkan; apabila aku mati nanti, sebaik jenazahku dikebumikan kamu bacalah di hujung kepalaku awal surah al-Baqarah dan hujungnya kerana aku telah mendengar sahabat Nabi Abdullah bin Umar RA pernah mewasiatkan sebegitu". Imam Ahmad lantas berkata kepadaku; kembalilah kamu kepada si buta tadi dan katakan kepadanya; 'Bacalah al-Quran di kubur' (HR Abu Bakar al-Khallal (w 310H), kitabnya; al-Qira-ah 'inda al-Qabr, m.s. 88).

Berkata Imam Ibnul Qayyim; telah diceritakan dari sekumpulan Salaf bahawa mereka mewasiatkan supaya dibacakan al-Quran di kubur mereka ketika dikebumikan. 

Abdul Haqq menceritakan; Abdullah bin Umar RA (sahabat Nabi tadi) menyuruh supaya dibacakan surah al-Baqarah di kuburnya.

Al-Za'farani menceritakan; aku bertanya Imam al-Syafiie tentang membaca al-Quran di kubur. Maka dia menjawab; "Tidak mengapa (yakni dibolehkan)".

Al-Sya'bi menceritakan; Orang-orang Ansar (sahabat Nabi) apabila ada di kalangan mereka yang meninggal, mereka akan bergilir-gilir ke kuburnya untuk membaca al-Quran.

Al-Hasan bin al-Jarawi menceritakan; aku pernah menziarahi kakakku (yang telah meninggal) dan membacakan di kuburnya surah al-Mulk kerana fadhilatnya (menghilangkan azab kubur). Tidak lama selepas itu, seorang lelaki datang bercerita kepadaku; aku bermimpi bertemu kakakmu semalam. Dia berkata kepadaku; ucapkan terima kasih kepada saudaraku al-Hasan kerana bacaannya memberi manfaat kepadaku. (al-Ruh, m.s. 16-17).

Berkata Imam Ibnu Qudamah; tidak mengapa (yakni dibolehkan) membaca al-Quran di kubur, kerana diriwayatkan dari Imam Ahmad yang berkata; apabila kamu memasuki kawasan perkuburan, bacalah ayat kursi dan surah al-Ikhlas sebanyak 3 kali, kemudian berdoalah; 'Ya Allah, pahala dan kelebihan ayat/surah ini berikan kepada penghuni-penuhi kubur ini (al-Mughni; 2/355). 

Berkata Imam al-Nawawi -ketika mengulas hadis yang menceritakan Nabi SAW memacakkan pelepah tamar yang masih basah di atas dua kubur untuk meringankan penghuninya dari siksaan kubur-, kata beliau; berdalilkan hadis ini para ulamak menggalakkan bacaan al-Quran di kubur kerana jika tasbih dari pelepah tamar dapat diharapkan (manfaat darinya untuk) meringankan siksaan penghuni kubur maka bacaan al-Quran (dari manusia) lebih utama dari tasbih pelepah tamar itu (untuk ahli kubur) (Syarah Soheh Muslim, 3/203).

Kesimpulan, membaca al-Quran di kubur adalah amalan yang dibolehkan dan memberi manfaat untuk ahli/penghuni kubur, insya Allah.

Wallahu a'lam.