Hijrah; setiap hari, bukan setahun sekali.
Satu kerugian bila kita mengingati hijrah hanya setahun sekali, iaitu ketika kita diberi cuti sempena awal tahun Hijrah (1 Muharram). Kita hanya seronok menikmati cuti, tetapi hidup kita tidak pernah berubah, walhal hijrah itu tidak memberi makna melainkan perubahan atau perpindahan. Ada disebut dalam riwayat; “Sesiapa yang sama dua harinya (yakni hari ini dan hari semalam), maka ia adalah rugi. Jika hari ini lebih teruk dari semalam, ia adalah terlaknat” (Riwayat Imam ad-Dailami dari Saidina ‘Ali r.a.).
Hijrah Rasul dari Mekah ke Madinah ia bukanlah peristiwa terawal atau peristiwa terakhir dalam sirah Nabi Muhammad s.a.w.. Ia adalah peristiwa pertengahan yang diawali dengan pelbagai peristiwa sebelumnya dan disusuli dengan pelbagai peristiwa pula selepasnya. Hijrah Rasul itu sebenarnya bukan satu-satunya hijrah, tetapi salah satu dari siri-siri hijrah yang dilalui baginda dan para sahabat dalam mengejar cita-cita perjuangan yang ditetapkan Allah. Hijrah yang pertama ialah hijrah maknawi, iaitu hijrah jiwa (aqal, hati, dan perasaan) dari kekufuran kepada keimanan, dari syirik kepada tauhid dan dari maksiat dan dosa kepada taat dan pahala. Hijrah maknawi ini adalah permulaan dakwah Nabi s.a.w.. Dari hijrah maknawi ini lahir para sahabat yang kuat jiwanya, mantap aqidahnya, tinggi semangatnya dan teguh pegangannya dengan Syariat Allah. Setelah itu barulah menyusul hijrah jasadiah iaitu perpindahan dari Mekah ke Madinah yang diatur oleh Allah untuk para sahabat memasuki episod baru perjuangan yang lebih besar dan lebih mencabar (yang melepasi sempadan diri) iaitu pembentukan masyarakat Islam dan Negara Islam. Di dalam al-Quran dan al-Hadis, kedua-dua hijrah di atas (iaitu hijrah maknawi dan hijrah jasadi) ada disebut. Hijrah maknawi, antaranya disebut Allah dalam surah al-Muddassir; “Dan dari dosa dan kejahatan hendaklah engkau hijrah (yakni tinggalkan)”. (ayat 5). Lebih jelas lagi, Rasulullah s.a.w. menegaskan tentang Muhajir (orang yang berhijrah) dengan katanya; “Orang yang (sebenarnya) berhijrah ialah orang yang berhijrah meninggalkan apa yang ditegah Allah” (HR Imam al-Bukhari dari Abdullah bin ‘Amru r.a.). Dalam riwayat yang lain, baginda berkata; “Orang yang berhijrah ialah orang yang berhijrah meninggalkan kesalahan dan dosa” (HR Imam Ibnu Majah dari Fadhalah bin ‘Ubaid r.a.). Hijrah yang dimaksudkan oleh Nabi di dalam hadis-hadis ini tidak lain melainkan hijrah maknawi. Adapun hijrah jasadi, yang kita maksudkan ialah; perpindahan secara fizikal dari negeri kafir ke negeri Islam. Hijrah (perpindahan) umat Islam dari Mekah ke Madinah pada zaman Nabi adalah merujuk kepada hijrah jasadi ini. Penjelasan al-Quran dan as-Sunnah bagi hijrah jenis ini amat selalu dibentangkan kepada kita (terutamanya setiap kali menjelang ma’al-hijrah). Tidak perlu diulangi dalam tulisan yang ringkas ini. Cuma apa yang ingin sama-sama direnung di sini ialah jika kita memahami hijrah dengan hijrah kedua ini sahaja, tidak ramailah umat Islam yang terlibat dengan hijrah. Kita yang tinggal di negeri yang aman seperti Malaysia ini, sudah tentu kita tidak akan berhijrah ke mana-mana buat masa ini. Akhirnya hijrah hanya akan menjadi peristiwa untuk diingati setahun sekali sahaja seperti mana hari ini. Namun jika hijrah yang kita fahami ialah hijrah dalam pengertian yang luas, maka seluruh detik hidup kita menuntut kita untuk berhijrah. Setiap masa dan setiap hari kita dituntut untuk berhijrah ke tahap yang lebih baik. Apabila hijrah kita adalah hijrah yang berterusan, maka setiap kali tiba satu Muharram, detik itu kita akan rasainya dengan penuh makna kerana kita memahami dan tahu menilai erti hijrah yang sebenarnya. Namun jika yang kita tunggu hanya hijrah jasadi, maka satu Muharram hanya memberi kita keseronokan bercuti sahaja.


